Home » Lagenda » Pelayaran dakwah Laksamana Cheng Ho

Pelayaran dakwah Laksamana Cheng Ho

NAMA Laksamana Cheng Ho sudah tidak asing lagi di negara ini. Selain terkenal sebagai pelayar yang hebat dan bijak menjalinkan hubungan diplomatik antara negara, beliau turut terus diingati kerana aktif menyebarkan dakwah di kawasan disinggahinya.

Cheng Ho atau nama penuh Islamnya Ma He atau Muhammad He berjaya menakluki dunia melalui tujuh ekspedisi pelayaran ke Lautan Hindi dan Lautan Pasifik Barat dari benua Asia hingga ke Afrika. Dalam ekspedisi itu, beliau berlabuh di 30 negara.

Kejayaan tokoh Islam ini membuktikan negara China mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang teknologi pembinaan kapal dan pelayaran. Pelayar Dinasti Ming pada kurun ke-15 ini dijadikan sida-sida putera Zhu Di pada umur 13 tahun yang juga sida-sida pertama memegang jawatan laksamana di China.

Cheng Ho turut melakar sejarah peradaban China apabila menjadi pegawai tertinggi tentera pertama beragama Islam.

Sejarah mencatatkan, beliau adalah pemimpin unggul yang mengetuai armada lebih 100 kapal bersama 27,000 anak kapal ke lautan Barat mendahului Vasco da Gama dan Christopher Colombus menemui laluan ke Laut Timur.

Kisah Cheng Ho adalah perjuangan mencari kesempurnaan hidup menerusi Islam. Perjuangan menyempurnakan kecacatan hidupnya yang dikasi dan dipaksa menghambakan diri kepada maharaja.

Beliau tidak berpeluang mengembangkan zuriatnya, namun Cheng Ho tidak berputus asa dengan suratan hidupnya kerana berpegang kuat kepada ajaran Islam. Cita-citanya tinggi untuk menunaikan ibadah haji sebagai penyempurnaan kehidupan beragamanya. Bagi mencapai matlamat itu, beliau perlu membuktikan kesetiaannya kepada maharaja.

Cheng Ho adalah contoh Muslim sejati dan lambang keamanan sejagat. Ekspedisi Cheng Ho membadai samudera lebih awal daripada pelayar terkenal Eropah. Beliau mendahului Columbus selama 87 tahun, Vasco da Gama (93 tahun) dan Maggellan (116 tahun).

Laksamana Cheng Ho dan armadanya telah sampai ke Afrika kerana kekuatan tentera China pada masa itu. Maharaja China juga bijak memilih laksamana yang bakal memikul amanahnya kerana misi Cheng Ho berbeza dengan matlamat pelayar Eropah.

Contohnya, pelayaran Columbus ke Amerika untuk mencari emas, tanah jajahan, membunuh ramai penduduk pribumi Red Indian dan menjual hamba ke Sepanyol. Maggellan pula mengelilingi dunia dengan menganggap dirinya sebagai penjajah. Akhirnya, dia mati dalam peperangan dan sewaktu pulang hanya tinggal satu kapal dengan 18 anak kapal.

Keadaan itu sangat berbeza dengan Cheng Ho. Armadanya paling kuat di dunia, tetapi tidak pernah menjajah satu negara pun. Laksamana Cheng Ho memartabatkan maruah China di pentas dunia.

Dalam tujuh ekspedisinya, tiga dilakukan pada musim sejuk iaitu pada ekspedisi kedua, keempat dan kelima. Namun, dalam cuaca sebegini buruk, tidak melenturkan semangatnya untuk melakukan pelayaran. Semangatnya kental seteguh Tembok Besar China.

Kehebatan laksamana ini tidak pada semangat saja, malah diserlahkan dengan armadanya. Beliau belayar bersama lebih 200 kapal berbeza dengan pelayar Eropah seperti Columbus yang hanya membawa tiga kapal, Vasco da Gama (empat) dan Maggellan (lima).

Armada Cheng Ho umpama sebuah pulau yang bergerak di tengah samudera sementara anak kapalnya berjumlah 27,000 hingga 28,000 orang.

 

INFO Mengenai Laksamana Cheng Ho

Nama Islam: Ma He atau Muhammad He

Menakluki dunia melalui tujuh ekspedisi pelayaran ke Lautan Hindi dan Lautan Pasifik Barat dari benua Asia ke Afrika

Pernah singgah di Melaka bagi menjalinkan hubungan diplomatik

Pelayaran mengelilingi dunia mendahului Vasco da Gama dan Christopher Colombus

Merupakan pemimpin yang hebat, Muslim sejati

sumber: https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *