Perlantikan Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad al Bakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sambut penuh gembira oleh warga Kementerian, agensi-agensi berkaitan dan seluruh rakyat Malaysia.
Tidak seperti amalan sebelum ini, pemilihan Menteri bagi Hal Ehwal Agama dipilih dari kalangan individu yang tidak ada kaitan dengan mana-mana parti politik tetapi lebih kepada profesionalisme, kelayakan dan kredibiliti, jauh sekali dari pelbagai kontroversi.
Buat pertama kali dalam sejarah juga, perlantikan Menteri bagi Hal Ehwal Agama mendapat pujian dan sokongan dari semua pihak baik kerajaan, mahupun pembangkang.
Sedikit Latar Belakang Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad al-Bakri:
Beliau dilahirkan di Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu pada 16 Januari 1969 dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Rengas Bekah, Kuala Terengganu (1976-1981).
Menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), Ladang, Kuala Terengganu (1982-1984) sebelum meneruskan pengajiannya dalam peringkat Thanawi di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk, Kuala Terengganu (1985-1988).
Seterusnya, beliau menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana Muda Syariah di Universiti Islam Madinah (1989-1993).
Tidak hanya setakat itu, beliau menyambung pula pengajiannya di peringkat Sarjana Syariah di Universiti al-Ulum al-Islamiah wa al-Arabiah di Damsyik, Syria (1994-1997) di bawah seliaan Syeikh Prof. Dr. Mustafa al-Khin.
Pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) pula diambil di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (School of Humanities), Universiti Sains Malaysia (2002-2004) di bawah seliaan Prof. Dr. Radzi Othman.
Tajuk kajiannya adalah Institusi Mufti Dan Fatwa: Satu Analisa Terhadap Enakmen Dan Beberapa Fatwa Pilihan Negeri Sembilan.
Rekod kerja beliau sepanjang menjawat jawatan Mufti Wilayah sejak tahun 2014 sangat-sangat dikagumi semua pihak malahan pandangan beliau sering dijadikan rujukan utama jika ada apa-apa isu yang melibatkan agama Islam.
Diharap perlantikan ini dapat lebih memajukan lagi institusi agama Islam di Malaysia juga dapat memperkukuhkan lagi agensi-agensi agama dibawah Jabatan Perdana Menteri.
Tahniah buat Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad al-Bakri. Selamat menunaikan amanah dan tanggungjawab yang besar lagi mencabar.
KOMEN