Home » Langit Terbuka » Zulfaqar cekal, mahu jadi penceramah motivasi

Zulfaqar cekal, mahu jadi penceramah motivasi

ZULFAQAR mempunyai lebih 90,000 pengikut di TikTok. FOTO Ihsan Zulfaqar Aslam Zulkefli

Kuala Berang – Zulfaqar Aslam Zulkefli bukan penceramah motivasi terkenal namun setiap video perkongsiannya di TikTok miliknya @ak_aslamm meraih ribuan tontonan.

Biarpun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Zulfaqar Aslam, 22, berani ke hadapan malah tidak kekok berinteraksi dengan pengikut secara maya.

Jadi, tidak hairanlah jika pemuda kelahiran Muar, Johor itu dapat mengumpul lebih 90,000 pengikut di TikTok yang kini menjadi platform kegemaran ramai.

“Saya aktif di TikTok sejak awal Julai tahun lalu dan ikutkan hanya lakukan suka-suka saja namun tidak sangka dapat mengumpul pengikut yang ramai di platform itu.

“Di TikTok, saya lebih suka kongsikan video yang boleh memberi motivasi kepada pengikut dan bersyukur kerana mendapat komen positif daripada pengikut.

“Lebih membuatkan saya terharu apabila mereka turut mendoakan saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Zulfaqar Aslam berkata, dia adalah anak sulung daripada empat beradik dan kini menuntut di semester dua dalam Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu.

“Saya satu-satunya OKU dalam keluarga kerana adik beradik yang lain normal dan kekurangan saya adalah tidak boleh menulis.

“Saya berada dalam aliran Pendidikan Khas sejak sekolah rendah hingga Tingkatan Empat sebelum masuk ke kelas biasa atas permintaan sendiri.

“Ketika di sekolah rendah , saya seorang yang pendiam. Selepas masuk sekolah menengah, saya mula bergaul dengan rakan normal,” katanya.

Menurut Zulfaqar Aslam, keluarga terutama ibu dan bapa yang banyak memberi semangat untuknya meneruskan hidup walaupun dilahirkan sebagai insan istimewa.

Manakala, keputusan menyambung pengajian di universiti adalah kerana keinginannya sendiri yang minat menimba ilmu.

“Jujurnya, saya pernah saja melalui fasa hilang keyakinan kerana memikirkan peluang untuk bekerja selepas tamat pengajian nanti.

“Cabaran juga ada kerana saya tidak boleh memandu jadi tiada peluang lihat dunia luar dan terpaksa minta bantuan rakan di kampus namun mujurlah mereka membantu.

“Saya jadi positif kerana mendapat sokongan ibu dan ayah yang kedua-duanya adalah pendidik. Lagipun, saya sebenarnya seorang yang suka menuntut ilmu dan tidak suka duduk diam jadi menganggap peluang menyambung pengajian sebagai batu loncatan untuk ke peringkat lebih tinggi walaupun menjadi satu-satunya penuntut OKU dalam kelas ,” katanya.

Aslam berkata, impiannya adalah untuk menjadi penceramah dan menjadikan usahawan OKU, Sukur Ibrahim, 38, sebagai idola.

“Seperti orang lain, saya juga berdepan cabaran dalam hidup kerana kekurangan yang ada dalam diri. Bagaimanapun, saya cuba positif kerana bukan hanya saya malah ada lagi insan lebih malang dan kurang bernasib baik di luar sana.

“Doa saya semoga diberi peluang untuk mendapat pekerjaan kelak dan dipermudahkan urusan bagi mencapai impian,” katanya yang turut berterima kasih kepada guru di sekolah dan pensyarah di UniSZA kerana banyak membantunya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *