KEPALA BATAS – Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyasarkan agihan bantuan makanan dan barangan keperluan harian kepada 10,000 penduduk yang terkesan di negeri itu sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, pihaknya menyediakan peruntukan sehingga RM1.5 juta di bawah Skim Bantuan Makanan Kecemasan bagi menjayakan usaha berkenaan.
Menurutnya, sehingga kini lebih 600 keluarga yang terjejas sudah menerima manfaat daripada skim berkenaan.
“Setakat ini, ZPP menerima sehingga 2,300 permohonan dan saringan akan dijalankan bagi memastikan hanya individu yang benar-benar terkesan, layak untuk mendapat bantuan ini.
Daripada jumlah itu, lebih 600 keluarga sudah diberikan bantuan terbabit,” katanya selepas meninjau proses pengumpulan dan pembungkusan bantuan di Pusat Jagaan Inapan Kasih Sayang ZPP, di sini, pada 5 Jun.
Katanya, setiap keluarga yang layak akan menerima bungkusan makanan dan barang keperluan harian bernilai RM150.
“Bantuan ini dibuka kepada semua orang Islam di Pulau Pinang sama ada warganegara atau bukan warganegara.
“Apabila disahkan layak (terima bantuan), pasukan tindakan khas ZPP akan membuat penghantaran segera dalam tempoh 24 jam ke rumah penerima,” katanya.
Katanya, ZPP juga akan menimbang untuk menyalurkan peruntukan tambahan sekiranya fasa SPP ini berlarutan
KOMEN