Home » Langit Terbuka » Zikir ‘menari’ menyimpang ajaran Islam

Zikir ‘menari’ menyimpang ajaran Islam

Tangkap layar video perbuatan sekumpulan individu yang berzikir sambil berdiri di Jerantut. - Foto NSTP

KUANTAN – Tindakan sekumpulan penduduk Kampung Seberang Bantal, Ulu Tembeling di Jerantut berzikir sambil berdiri dan menggerakkan anggota tubuh pada Khamis lalu, menyimpang daripada ajaran Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata aktiviti itu sah menyimpang dan menyeleweng, namun masih belum dipastikan ajaran atau tarekat yang diamalkan.

“Kita ada menerima laporan mengenai aktiviti itu dan jelas ia tidak menepati syariat agama. Bagaimanapun, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sudah memanggil individu terbabit yang dipercayai membawa masuk (amalan zikir), namun, dia tidak hadir.

“Siasatan masih dijalankan oleh JAIP dan individu terbabit dalam pemantauan. Saya difahamkan, JAIP akan bertemu dengan individu itu di kampung berkenaan,” katanya.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan projek jambatan penghubung Taman Bunut Rendang – Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang di sini.

Beliau berkata, individu terbabit yang berasal dari Terengganu dipercayai membawa masuk ajaran itu dari luar.

“Kita melihat kepada aduan yang dibuat (Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut) termasuk aduan daripada orang ramai.

“Kita dapati, JAIP sudah mengambil tindakan serta-merta. Kita melihat ini sebagai satu ajaran yang menggugat akidah kerana ajaran yang tidak betul. Sekiranya, ada penyebaran di tempat lain, kita akan cepat-cepat ambil tindakan,” katanya.

Kelmarin, tular tiga rakaman video berdurasi antara 0.22 saat dan 1.12 minit yang memaparkan sekumpulan penduduk berzikir sambil berdiri dan menggerakkan anggota tubuh yang dipercayai berlaku pada 11 Julai lalu.

Seorang lelaki dari Terengganu yang dikenali sebagai Tok Ki @ Tok Ayah dipercayai mengetuai aktiviti terbabit sudah dipanggil Pejabat Agama Islam Daerah untuk siasatan kira-kira jam 11 pagi kelmarin, namun, lelaki itu tidak muncul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan polis berhubung aktiviti itu dan siasatan dilakukan sepenuhnya oleh pejabat agama. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *