TANAH MERAH – Meskipun tidak jelas terucap, namun dari tutur bahasa dan riak wajah, jelas mereka amat terharu dengan sumbangan yang diterima.
Dengan kedudukan kediaman yang terpencil dan jauh dari jalan utama kampung, mereka tidak menyangka ada yang mahu datang menziarahi, apatah lagi menyampaikan sumbangan.
Namun pada 17 Januari, dua agensi agama Islam persekutuan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah bekerjasama menyantuni lima buah keluarga di Kampung Alor Pasir di sini.
Program tanggungjawab sosial ini juga dijayakan dengan kerjasama Masjid Al-Mustaqim Mukim Alor Pasir.
YADIM diwakili oleh Penolong Pengarah YADIM Kelantan, Ustazah Yusnita Muhamed Yusoff, yang menyampaikan kit musaadah untuk warga emas, pesakit kronik serta warga kelainan upaya manakala Pengurus YAPEIM Kelantan, Nik Mohd Nur Ehsan pula menyampaikan wang tunai RM500 serta makanan menerusi foodbank badan itu.
Hadir sama ialah Iman Muda Masjid Mukim Alor Pasir, Haji Mohd Zulkifli Mohd Nor.
KOMEN