PUTRAJAYA – Pendakwah kontroversi, Dr. Zakir Naik enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pendirian terbaharu kerajaan mengenai kemungkinan tindakan penghantaran pulang beliau ke negara asalnya, India hari ini.
Beliau yang menunaikan solat Jumaat seperti biasa di Masjid Putra tidak memberikan sebarang komen kepada media yang bertanyakan soalan kepadanya.
“Assalamualaikum,” katanya ringkas. Zakir yang dikawal ketat oleh pengawal peribadi dilihat tenang dan masih tersenyum dan melayan peminatnya walaupun berdepan dengan tekanan mungkin dihantar pulang ke India.
Turut menunaikan solat Jumaat di Masjid sama adalah Dr. Mahathir Mohamad dan barisan menteri-menteri.
Terdahulu, Mahathir dalam sidang media hari ini berkata, Putrajaya tidak akan mengusir Zakir selagi pendakwah itu tidak menimbulkan masalah.
Ini kerana, Zakir telah diberikan status pemastautin tetap (PR) di negara ini.
“Selagi beliau (Zakir) tidak menimbulkan masalah kita tidak akan hantar dia balik kerana beliau telah diberikan status pemastautin tetap,” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan Zakir akan dihantar pulang ke India. –MALAYSIAGAZETTE
https://temp.malaysiagazette.com/v2/blog/2018/07/06/zakir-enggan-ulas-isu-kena-hantar-balik-india/
KOMEN