Home » Langit Terbuka » Zakat Selangor: Agihan hanya kepada orang Islam

Zakat Selangor: Agihan hanya kepada orang Islam

LZS tidak ada kaitan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk parti politik dan akan terus menyantuni asnaf di Selangor - Foto LZS

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menegaskan pengagihan zakat di negeri itu adalah hanya untuk umat Islam sahaja, dan bukan untuk disalurkan kepada agama lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Penyelaras LZS Abdul Basith Hamid berkata skop pengagihan zakat di Selangor yang diuruskan oleh LZS adalah berdasarkan kepada hukum syarak, meliputi 8 kategori asnaf seperti yang dijelaskan dalam surah at-Taubah ayat 60.

Katanya, kenyataan berkenaan dikeluarkan sebagai maklum balas berikutan pekeliling dalaman LZS berhubung penggunaan motto baru “Manfaat Zakat Untuk Semua” yang tular di media sosial serta WhatsApp dan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Beliau menjelaskan penggunaan motto baru itu, bermula esok bagi menggantikan motto lama “Meneraju Perubahan”, membawa maksud yang sangat luas, iaitu menggambarkan ibadah zakat walaupun hanya dikhususkan kepada umat Islam tetapi manfaatnya dinikmati semua anggota masyarakat dalam kitaran ekonomi dan sosial, selaras dengan peranan zakat yang menyucikan dan menyuburkan.

Sekiranya taraf kehidupan asnaf dipertingkatkan, ia secara tidak langsung akan meningkatkan taraf sesebuah negeri atau negara, justeru, dengan maju dan makmurnya sesebuah negeri atau negara, akan bermanfaatlah setiap rakyat di dalamnya tanpa mengira bangsa atau agama, kata Abdul Basith.

“Misalnya, seorang mahasiswa asnaf dibiayai dengan wang zakat dalam bidang perubatan sehingga berjaya menjadi doktor pakar, maka manfaatnya dapat dinikmati oleh semua pesakit tanpa mengira status, bangsa atau agama,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan LZS tidak ada kaitan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk parti politik dan akan terus menyantuni asnaf di Selangor bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“LZS juga sentiasa mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Peraturan-Peraturan Zakat Dan Fitrah (Negeri Selangor) 2012 dalam melaksanakan operasi agihan dan kutipan zakat di Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata agihan dan kutipan zakat di Selangor sentiasa dilakukan mengikut hukum syarak dan dipantau rapi oleh Majlis Agama Islam Selangor serta dikawal selia oleh jawatankuasa yang dilantik termasuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *