BUKIT MERTAJAM – Zakat Pulau Pinang (ZPP) paa 19 Mac mengumumkan bantuan khas RM500 kepada peniaga dan penjaja kecil dalam kalangan asnaf dan fakir miskin di negeri ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata langkah itu diambil memandangkan golongan itu berdepan masalah hilang punca pendapatan susulan perintah yang dikeluarkan kerajaan berikutan penularan COVID-19.
“Anggaran perbelanjaan untuk bantuan khas ini ialah sebanyak RM2.5 juta dengan menggunakan peruntukan asnaf tawaqquf, miskin – Bantuan Sara Hidup sekali gus.
“Peniaga yang dijangka membuat permohonan untuk skim bantuan khas ini seramai 5,000 orang. Bantuan akan diberikan kepada peniaga-peniaga kecil seperti peniaga pasar malam, penjaja tepi jalan, tukang gunting rambut kecil-kecilan, yang pendapatan utamanya adalah berniaga.
“Bantuan tidak akan diberikan kepada mereka yang berniaga untuk pendapatan sampingan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Zakat Pulau Pinang, di sini.
Beliau berkata, pemohon perlu mengisi borang Skim Bantuan Khas Peniaga Kecil Asnaf ZPP, yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.zakatpenang.com bermula 20 Mac hingga 24 Mac ini.
Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, berkata setiap pemohon juga perlu mendapatkan pengesahan daripada kariah masjid di tempat mereka bermastautin, sebelum menghantar borang itu ke ZPP.
Antara syarat untuk mendapatkan bantuan khas itu adalah pendapatan bulanan peniaga tidak melebihi RM2,000, pemohon tiada wang simpanan melebihi RM5,000, pemohon harus bermastautin dan menjalankan perniagaan di Pulau Pinang serta hanya ketua keluarga yang layak memohon bagi setiap isi rumah.
Dalam pada itu, ZPP turut mengumumkan sumbangan bantuan khas bernilai RM306,500 kepada 764 masjid dan surau seluruh negeri itu, masing-masing menerima RM400 bagi tujuan pembersihan dan nyahkuman bagi mencegah penularan COVID-19. – Bernama
KOMEN