Home » Langit Terbuka » Zakat: 1.2 juta umat Islam di Selangor tak tunai kewajipan

Zakat: 1.2 juta umat Islam di Selangor tak tunai kewajipan

SUBANG JAYA, 25 Mei – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mendedahkan, kira-kira 1.2 juta umat Islam di Selangor yang layak mengeluarkan zakat tidak menunaikan kewajipan itu.

Ketua Pegawai LZS, Hussin Mohd Ali berkata, kajian dalaman dibuat pihaknya mendapati majoriti daripadanya dikenal pasti berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Hasil kajian itu juga, pihaknya mendapati mereka yang baru memasuki alam pekerjaan paling ramai tidak menunaikan rukun Islam keempat itu.

“Berdasarkan statistik LZS, golongan muda paling sedikit mengeluarkan zakat, ketika ini hanya 267,000 umat Islam daripada 1.5 juta yang layak menunaikan kewajipan itu.

“Mungkin hati mereka belum terdetik kerana ramai beranggapan belum layak, tidak kurang juga yang menyamakan bayaran zakat macam cukai pendapatan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada 899 asnaf fakir, miskin dan mualaf di Masjid Darul Ehsan, di SS15.

Bahkan, menurutnya, jika kesemua mereka yang layak menunaikan kewajipan masing-masing tidak mustahil kira-kira RM3 bilion dapat dikutip LZS.

Pada masa sama, Hussin berkata, umat Islam perlu ingat 2.5 sen daripada RM1 dimiliki bukan hak mereka kerana terdapat hak orang lain di dalamnya.

“Orang ramai boleh buat kiraan zakat dengan memasukkan pendapatan serta tanggungan dan secara automatik jumlah zakat wajib dikeluarkan akan terpapar.

“Ada yang terkejut selepas membuat pengiraan mereka baru dapat tahu perlu membayar zakat antara RM5 atau RM10 sebulan.

“Sebelum ni mereka mungkin rasa tak layak berzakat, tapi ramai yang kata lepas keluar zakat, perasaan dia lain.

“Ada makcik jual nasi ayam secara kecil-kecilan hingga perniagaan berkembang dia terasa peningkatannya selepas bayar zakat,” katanya.

Sehubungan itu, bagi menggalakkan lebih ramai membayar zakat, LZS bekerjasama dengan pihak masjid dan menggerakkan kira-kira 1,800 penolong amil kariah di negeri ini.

LZS katanya, turut melantik 50 ejen diberi komisyen untuk mencari mereka yang layak berzakat.

“LZS juga pergi ke sekolah anjur Program Zakat Didik dan nampak keberkesanannya bila ada pelajar pulang ke rumah dan tanya ibu bapa sudah bayar zakat atau belum.

“Kami akan cari kaedah lain bersesuaian supaya lebih ramai faham kewajipan berzakat,” katanya.- www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *