Di kalangan sebahagian orang, menyebut nama Yusoff Zaky Yaacob (Dato’ Haji Yusoff Zaky bin Haji Yaacob) mungkin akan lebih banyak dikaitkan dengan peranan beliau sebagai pengasas Pustaka Dian, pengasas majalah Dian Diages, juga pengasas Mingguan Kota Bharu. Kecuali Pustaka Dian, yang kini dikenali sebagai Dian Darul Naim Sdn. Bhd, dua yang terakhir itu tidak lagi wujud. Selain itu, orang mungkin lebih banyak mengenali Yusoff Zaky Yaacob sebagai antara orang bergelar di Kelantan, yang pernah turut berperanan di dalam Suruhan Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan.
Tetapi bagi seorang pengkaji sejarah, khususnya bagi pencinta persuratan Islam, Yusoff Zaky Yaacob sesungguhnya adalah seorang mahaguru, seorang pemikir, seorang pencanai minda, dan sekali gus seorang penggerak revolusi pemikiran sejagat dengan mengambil pendekatan yang cukup Islamik. Beliau adalah seorang aktivis sastera, dan sekali gus adalah seorang pendakwah.
Yusoff Zaky bin Haji Yaacob lahir di Kota Bharu pada 13 Jun 1928, berasal dari keluarga ulama terbilang. Ayah beliau, Tuan Guru Haji Yaacob adalah antara tuan guru yang disegani di Kelantan pada masanya. Pendidikan awalnya diterima di Sekolah Majlis (Ugama) di Kota Bharu, kemudiannya ke Sekolah Arab Jami’ Ismaili di Kota Bharu. Sekolah Jami’ ini merupakan satu-satunya sekolah pondok paling sistematik di kala itu.
Dengan pendidikan asas yang diterimanya di sekolah-sekolah agama (Arab) itu, dengan sendirinya beliau beroleh keupayaan menguasai bahasa Arab dengan baik sejak usia remajanya. Apatah lagi sepanjang pengajiannya di tanah air, beliau diberuntungkan lagi dengan kesempatan berguru daripada tokoh-tokoh pendidik, sekali gus ulama paling kawakan di Kelantan pada masanya. Antara guru-guru yang selalu disebut-sebut oleh beliau ialah almarhum Haji Ahmad Maheer, almarhum Haji Saed Kangkong dan almarhum Haji Nik Abdul Rahman. Namun tentu saja satu lagi nama yang tak pernah diabaikannya ialah ayahandanya sendiri, Haji Yaacob Haji Ahmad.
Selain itu, beberapa lagi nama patut dicatat sebagai guru-gurunya. Antara mereka ialah almarhum Ustaz Khatib Haji Ali dan almarhum Ustaz Haji Wan Sulaiman.
Sementara itu, perlu dicatat, sepanjang menuntut di Sekolah Jami’ itu pula, Yusoff Zaky telah menunjukkan minatnya yang mendalam dalam bidang penulisan, termasuk penulisan makalah agama dan kesusasteraan. Beliau telah menghasilkan sejumlah karangan prosa dan puisi, dan antaranya telah pernah dikirimkan (dan tersiar) dalam pelbagai penerbitan. Majalah Hikmah yang pernah diterbitkan di Kota Bharu awal abad ke-20, adalah antara majalah yang pernah memuatkan tulisan Yusoff Zaky. Bahkan beliau pernah memenangi satu sayembara menterjemah syair daripada bahasa Arab ke Bahasa Melayu anjuran sebuah pawagam milik seorang saudagar Arab di Singapura.
Berikutnya, atas nasihat dari guru-guru dan kawan-kawan baiknya (antaranya ialah almarhum Muhd. Adnan Ariffin dan almarhum Saad Shukri) pada tahun 1949, beliau berangkat ke Mesir dengan menaiki kapal laut. Di Mesir, Yusoff Zaky berusaha dan kemudiannya berjaya mendapat tempat di American Universiti At Cairo (AUC), sebuah universiti yang paling berprestij di Mesir, dianggap sebagai universiti yang fleksibel dan mendahului zamannya dari segi kurikulum dan silibus, kendatipun kurang dikenali di Malaysia berbanding Universiti al-Azhar.
Selama enam tahun Yusoff Zaky di Mesir, khususnya di AUC. Kesempatan bergaul dengan mahasiswa Mesir dan mahasiswa serata dunia yang menuntut di AUC, dipergunakan sebaiknya oleh Yusoff Zaky untuk meluaskan minat asalnya dalam bidang penulisan. Dengan pembacaan yang lebih luas, khususnya dalam Bahasa Arab dan Inggeris, Yusoff Zaky mampu mendalami ilmu kesusasteraan, di samping ilmu-ilmu lain. Penglibatan beliau dalam bidang ini agak menarik, kerana antara lain beliau pernah menjadi penterjemah dan penulis sarikata untuk filem-filem Mesir yang diedarkan/ditayangkan di Indonesia (dan Malaysia juga).
Sekembalinya ke tanahair pada tahun 1955, Yusoff Zaky sepatutnya menjadi pegawai kerajaan, khususnya pegawai agama. Tetapi yang dibawa pulang bukan azam itu. Ternyata, beliau lebih cenderung untuk menjadi seorang pengarang bebas, bahkan kalau boleh untuk menjadi penerbit, malahan lagi kalau mampu untuk memiliki percetakan sendiri. Tidak syak lagi, apa yang disaksikannya dalam dunia penerbitan di Mesir banyak mempengaruhi beliau.
Berasaskan cita-cita tersebut, Yusoff Zaky telah menolak beberapa tawaran kerja yang menjanjikan prestasinya daripada pihak-pihak tertentu di Kelantan dan di luar Kelantan, termasuk dari agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan persuratan.
Penglibatan awal Yusoff Zaky Yaacob dengan kemelut perniagaan (penerbitan buku) agak menarik. Ketika pulang dari Mesir, beliau telah menulis sebuah buku psikologi yang berjudul SAIKOLOJI RUMAJA (sebagaimana ejaan asalnya). Manuskrip jawi buku tersebut telah dibawa ke pelbagai penerbitan, namun tak seorang pun pemilik penerbitan di Kelantan pada masa itu yang mahu menerbitkannya, dengan alasan buku-buku sedemikian tidak akan laku di pasaran, berbanding buku-buku pendidikan agama tulen, atau buku-buku sastera ringan, padahal Yusoff Zaky sendiri amat yakin buku sedemikian boleh menarik minat pembeli.
Tanpa rasa putus asa, akhirnya beliau berusaha sendiri. Dengan modal sebanyak 500 ringgit, beliau telah mengupah sebuah percetakan di Kota Bharu mencetak buku Saikologi Rumaja itu, dan beliau sendiri kemudian yang memasarkannya. Benar sebagaimana sangkaannya, buku tersebut mendapat sambutan hangat.
Dan bermulalah sejarah sebuah penerbitan baru di Kelantan, mengekori beberapa penerbitan lain yang sedia ada (antara penerbit-penerbit yang sedia ada itu ialah Al-Ahliyah Press dan Pustaka Aman Press. Adapun Pustaka Aman Press itu, yang masih tegak hingga sekarang, adalah milik abang Yusoff Zaky sendiri, yakni Hassan Yaacob). Penerbitan yang dimaksudkan itu ialah Pustaka Dian, yang pada mulanya beroperasi di sebuah rumah milik orang tua Yusoff Zaky sendiri, kemudiannya berpindah dan berpindah lagi hinggalah ke sebuah gudang di Jalan Tengku Chik, berhadapan dengan Panggung Odeon di Kota Bharu (hari ini pawagam tersebut adalah Bangunan UMNO Kelantan).
Inilah tapak yang menjanjikan. Perjalanan seribu batu harus bermula dengan langkah pertama. Dari kedai di Jalan Tengku Chik, Pustaka Dian meletakkan asas yang cukup kukuh. Beberapa buah buku lain dari karangan Yusoff Zaky sendiri, atau yang diterjemahkannya, diterbitkan (dan mendapat sambutan luar biasa), khususnya mengenai psikologi, antaranya adalah Dari Rahim ke Dunia, Saikologi Takut, Saikologi Kanak-kanak, 1001 Masalah Jiwa Manusia, Mencari Kejernihan Jiwa, Ilmu Masyarakat, Falsafah Revolusi, Menuju Revolusi Islam, Rahsia Kebahagiaan dan sejumlah buku yang lain. Turut juga diterbitkan ialah buku-buku dari karangan penulis luar, antaranya ialah Falsafah Rukun Islam dan Akhlak Islam, kedua-duanya adalah buah tangan Ustaz Budiman Radhi, seorang pensyarah maktab Al-Ihya’ es-Syarif, Gunung Semanggul, Perak.
Beberapa judul buku terbitan Pustaka Dian juga turut menjadi teks di sekolah-sekolah agama di Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah.
Menyedari perniagaan penerbitan buku boleh memberi manfaat kepada masyarakat (atau boleh menjadi tokoh koporat bagi yang berminat ke arah itu), serentak dengan usaha menerbitkan buku-buku, Yusoff Zaky memulakan projek penerbitan sebuah majalah bulanan bercorak daijes. Majalah itu dinamakan Majalah Dian Daijes, satu-satunya daiges Melayu di kala itu, dan sekali gus tergolong antara majalah Melayu paling berpengaruh dan paling bermutu.
Majalah Dian menjadi sumber paling absah untuk pembaca Melayu mendapatkan ilmu. Selain memuatkan tulisan-tulisan Yusoff Zaky sendiri mengenai psikologi, Dian juga turut memuatkan makalah-makalah politik antarabangsa, sebahagian besarnya berupa sadoran dari majalah-majalah Arab. Dan bagi pencinta sastera Melayu, khususnya para sasterawannya sendiri, majalah Dian adalah sumber untuk membaca cerpen-cerpen dunia yang paling hebat, baik yang ditulis oleh pengarang-pengarang dunia Arab, mahupun yang ditulis oleh pengarang-pengarang Eropah, Amerika, China dan Jepun (walaupun sebahagian besar cerpen-cerpen bukan-Arab yang diterjemahkan itu, sebenarnya adalah diterjemahkan semula dari edisi Bahasa Arab yang pernah termuat di dalam sekian banyak majalah Arab. Dan antara penterjemah cerpen-cerpen itu adalah Yusoff Zaky sendiri).
Untuk peringkat awal, majalah Dian hampir tidak menerima sumbangan penulis-penulis luar, melainkan bagi halaman “komentar” dan puisi. Tulisan-tulisan di dalam Dian keseluruhannya ditulis dan diterjemahkan/disadurkan oleh staf Dian sendiri, antaranya adalah Mohd. Zain Salleh (Razin MS). Bagaimanapun, pada tahap-tahap akhirnya, majalah Dian banyak menerima dan memuatkan makalah-makalah serta cerpen-cerpen penulis Malaysia sendiri; bahkan Pustaka Dian turut juga menerbitkan siri buku-buku sastera karangan penulis-penulis Malaysia, antaranya ialah antologi cerpen S.Othman Kelantan, Asmaranda, Mohd. Affandi Hassan dan beberapa penulis lain.
Ini juga serentak dengan adanya (kemudian, khususnya setelah Pustaka Dian memiliki premis baru) tenaga-tenaga baru yang turut membantu majalah DIAN. Antara tenaga-tenaga itu termasuklah Drs. Abdul Rahman al-Ahmadi, Muhammad Labib Ahmad dan almarhum Abdullah Yusoff. Almarhum Dr. Abdullah Tahir pernah juga membantu majalah Dian secara sambilan.
Dari sebuah rumah kedai di Jalan Tengku Chik, Pustaka Dian kemudiannya berpindah ke bangunan sendiri di Lundang, Kota Bharu. Jika percetakan di Jalan Tengku Chik masih menggunakan sistem “huruf atur” dengan mesin cetak konvensional, keadaannya segera berubah setelah berpindah ke Lundang. Pernah diceritakan, bahawa ketika majalah Dian atau buku-buku lain diterbitkan dari Jalan Tengku Chik, proses aturhuruf semuanya menggunakan “huruf atur”, dan antara orang yang turut mengatur-huruf itu termasuklah Yusoff Zaky sendiri. Sebaliknya di Lundang, sistem percetakan menjadi lebih moden, dan terus bertambah canggih dari setahun ke setahun.
Dari pejabat di Lundang ini jugalah, pernah terbitnya Mingguan Kota Bharu pimpinan Mohd. Zain Salleh. Diterbitkan juga kemudiannya majalah Santajiwa, dan paling akhir, dalam dekad lapan puluhan, diterbitkan pula majalah Peristiwa. Dari pejabat di Lundang juga, Yusoff Zaky Yaacob membina kembali majalah Pengasuh, dengan beliau sendiri menjadi Ketua Pengarang, dibantu oleh Muhammad Uthman El-Muhammady, Abdul Razak Mahmud dan almarhum Ismail Awang. (Ustaz Razak Mahmud, yang pernah bertugas sebagai sidang redaksi majalah Dewan Masyarakat, kemudiannya pindah memimpin majalah Pengasuh sehingga beliau bersara wajib).
Begitu sekali Yusoff Zaky Yaacob memberikan komitmennya kepada setiap usahanya. Pustaka Dian telah muncul sebagai penerbit dan pencetak paling berpengaruh di Kelantan.
Pun kendati sibuk dengan pemantauannya terhadap perjalanan dan kemajuan Syarikat Dian, Yusoff Zaky Yaacob tak pernah melepaskan penanya. Dan kemuncak dari kerja-kerja penanya ialah apabila beliau berjaya menyelesaikan ibadat menterjemahkan sebuah kitab tafsir al-Quran yang sangat besar, Fi Zilalil Quran, buah tangan Syed Qutb. Dan amat membanggakan sekali, cara terjemahan yang dibuat oleh Yusoff Zaky terhadap Fi Zilalil Quran begitu teliti, bukan sahaja dari segi diksinya, malahan dari segi ketepatannya. Walaupun tafsir Fi Zilalil Quran dianggap sebagai kitab tafsir yang paling keras, bahkan ada yang mensifatkannya sebagai ekstrem (mungkin kerana Syed Qutb sendiri menulis tafsiran tersebut ketika beliau di dalam penjara), namun di tangan Yusoff Zaky Yaacob, Fi Zilalil Quran menjadi begitu moderat, cantik dan sangat berseni. Ciri-ciri sejarah tidak diabaikan langsung, pun penggunaan bahasanya kelihatan begitu mengasyikkan.
Tidak ayal lagi, ini pun bertolak daripada peribadi Yusoff Zaky sendiri. Selain seorang ulama, Yusoff Zaky juga seorang pengkaji dan pencinta sejarah. Selain seorang pendakwah besar, Yusoff Zaky juga seorang pencinta ilmu bahasa. Dan semua aspek itu dibuktikannya dengan hasil kerja beliau.
Demikianlah Yusoff Zaky Yaacob, yang sepanjang hayatnya pernah dianugerahi pelbagai gelaran kenamaan, dianugerahi juga beberapa ijazah kehormat, namun senantiasa hidup dengan penuh sederhana. Sebilangan orang (sahabat) menganggap beliau seorang yang serius, berdasarkan buah fikirannya yang bernas dan tegas dalam beberapa aspek ilmu. Tetapi sebenarnya beliau adalah seorang yang cukup humoris, suka juga berjenaka atau bercerita dengan ciri-ciri cerita jenaka, tetapi yang sarat dengan kias dan tamsil.
Kini telah enam belas tahun beliau meninggalkan kita. Saat kepergiannya mengadap Ilahi sungguh mencetuskan keinsafan dan rasa tawaduk yang mendalam. Betapa tidak, sementara umat Islam baru sahaja habis berpuasa, dan fajar Syawal sedang dinanti-nanti, maka pada saat itu pulalah Yusoff Zaky Yaacob menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya yang serba sederhana di Paya Purnama, Kota Bharu, pada 1 Syawal 1419 Hijrah bersamaan 19 Januari 1999 Masihi.
Sepanjang hidup, jasanya cukup besar. Tetapi setelah sepuluh tahun beliau meninggal, apakah sebenarnya yang telah kita lakukan, sekurang-kurangnya untuk mengenang jasa-baktinya itu? Kecuali Seminar Yusoff Zaky Yaacob pernah dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, dan sebuah antologi cerpen selenggaraan Abdul Razak Mahmud yang memuatkan cerpen-cerpen yang pernah diterjemahkan oleh Yusoff Zaky (kesemua cerpen tersebut telah termuat dalam majalah Dian), seolah-olah semua pihak sedang melupakan tokoh besar tersebut.
Ternyata, rupanya kita bukanlah tergolong sebagai kalangan yang tahu mengenang dan menghargai jasa para ahli fikir kita sendiri. Wal-Lahu’a’lam.
Sumber.
KOMEN