PATTANI – Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz pada 25 September telah menziarahi Rektor Universiti Fatoni, Thailand di kediamannya di sini yang kehilangan isterinya dalam satu kemalangan jalan raya, Ahad lalu.
Almarhumah, Fauziyah Bt Mustafa, 58 meninggalkan anak seramai 6 orang anak, iaitu 3 lelaki 3 perempuan.
Walaupun insiden sudah tiga hari berlalu, namun kediaman Dr Ismail Luthfi Japakiya itu terus dikunjungi ramai hadirin dari seluruh Thailand untuk memberi penghormatan kepada beliau.
Meskipun nampak keletihan, kedatangan Nik Omar disambut mesra oleh Ismail Luthfi.
Dalam pertemuan itu, beliau berkongsi pengalaman bersama isterinya selama 41 tahun yang tabah mendidik anak tanpa mengeluh. Menurutnya, pemergian isterinya itu adalah satu kehilangan besar bagi dirinya, terutama apabila mengenangkan kesabaran Almarhumah sebagai ibu yang mengasuh keluarga.
Ismail Luthfi juga sempat berpesan kepada para tetamu untuk menghargai pengorbanan seorang isteri serta ibu dalam kehidupan masing masing. Katanya lagi, tidak seharusnya dilepaskan peluang untuk berkhidmat kepada seorang ibu ketika dia masih hidup, serta berdoa untuk mereka sekiranya sudah meninggal dunia.
Dalam pada itu, Nik Omar telah diberi penghormatan untuk menyampaikan tazkirah di Masjid Bra’ul di sini selepas solat zohor kepada jemaah.
Kedua tokoh ini telah lama saling mengenali dan sebelum ini, Ismail Lufhfi pernah diundang memberi ceramah di masjid Tok Guru Pulau Melaka.
Sementara itu, Nik Omar telah menziarahi bondanya di Pulau Melaka, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
KOMEN