Home » Langit Terbuka » Yapeim Belanja RM12 Juta Untuk Program Inspirasi Sejak 2016

Yapeim Belanja RM12 Juta Untuk Program Inspirasi Sejak 2016

Dato’ Abibullah Hj Samsudin

KOTA BHARU – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) membelanjakan RM12 juta bagi melaksanakan Program Inspirasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Inspirasi Ramadan sejak 2016.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abibullah Samsudin berkata, inisiatif itu adalah bagi meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan utama khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Sejak 2016, terdapat 100,000 pelajar gagal dalam dua mata pelajaran berkenaan dan Yapeim mengambil inisiatif dengan bantuan pakar untuk membuat penambahbaikan dengan memantapkan lagi cara pengajaran dan pembelajaran,” katanya selepas Program Inspirasi Ramadan peringkat Negeri Kelantan di sini, malam tadi.

Abibullah berkata, menerusi program tersebut, guru-guru diberi tip dan teknik menjawab soalan berdasarkan skema pemarkahan melalui pendekatan motivasi yang dikendalikan guru-guru pakar, guru cemerlang dan ketua pemeriksa bagi subjek tertentu.

“Kaedah sebenarnya sudah berlangsung di semua peringkat negeri dan daerah. Selepas ini kita yakin modul yang diperkenalkan oleh guru pakar berjaya meningkatkan tahap prestasi pelajar,” katanya.

Pada majlis itu, kira-kira 1,000 pelajar daripada golongan anak yatim dan miskin menerima sumbangan RM120 setiap seorang.

Abibullah berkata, Kelantan adalah negeri keenam penganjuran Program Inspirasi Ramadan selepas Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak. Ia bakal melibatkan 15 lokasi kesemuanya termasuk Putrajaya.

“Tahun ini jumlah penerima adalah 2,400 dengan kos RM2.3 juta berbanding 22,320 pada tahun lalu dengan kos RM2.2 juta,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *