Home » Wacana » Yang Lebih Utama…

Yang Lebih Utama…

Oleh MOHD GUNAWAN CHE AB AZIZ
Allah Azza wa Jalla telah menegaskan kepada Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda dengan satu perkara yang besar. Perkara ini menjadi satu misi rabbani umat ini. Allah berfirman yang bermaksud: “…Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (al-Anfaal: 73)
Di dalam ayat ini, salah satu maknanya ialah ‘pertolongan bagi kaum Muslimin terhadap agama’. Ini sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya. Dan inilah yang benar-benar digalas oleh para sahabat walau dari golongan mana sekalipun diri mereka.
Ka’ab bin ‘Ujrah RA menceritakan, pada suatu hari, kami duduk di dalam masjid berhadapan (dengan rumah) Rasulullah SAW. Dalam masjid ketika itu, terdapat kelompok para sahabat daripada golongan Ansar, golongan Muhajirin dan golongan Bani Hasyim. Kami berselisih pendapat mengenai siapakah antara kami yang paling dikasihi Rasulullah SAW.
Kami (orang Ansar) berkata, “Kami lebih utama di sisi Baginda kerana kami telah beriman dengan Baginda, mengikuti dan berjuang bersama Baginda dan kami adalah benteng Baginda yang sentiasa siap sedia untuk membunuh musuh-musuh Baginda. Oleh itu kamilah golongan yang lebih utama dan lebih dikasihi Baginda.”
Lalu saudara kami dari golongan Muhajirin berkata, “Kami telah berhijrah bersama Rasulullah SAW. Kami telah meninggalkan ahli keluarga dan harta benda kami. Kami juga turut berada di semua tempat yang kamu berada, dan kami juga telah menyertai semua peperangan yang disertai oleh kalian semua; oleh itu kamilah yang lebih utama dan lebih dikasihi Baginda.”
Kemudian saudara kami dari golongan Bani Hasyim pula telah berkata, “Kami adalah ahli keluarga Muhammad SAW. Kami turut berada di semua tempat yang kalian semua pernah berada dan kami turut menyertai semua peperangan yang kalian semua sertai. Oleh itu, kamilah yang lebih utama di sisi Rasulullah SAW.”
Tiba-tiba Rasulullah SAW telah muncul dalam majlis kami itu lalu bersabda, “Sesungguhnya aku mengetahui yang kamu ini sedang berbincang tentang sesuatu.”
Lalu kami pun memberitahu kepada Baginda mengenai perbincangan kami tadi. Rasulullah SAW bersabda kepada golongan Ansar, “Kamu memang berkata benar, siapakah yang boleh menyangkal kata-kata kamu itu?”
Kemudian kami memberitahu Baginda apa yang telah dikatakan oleh saudara kami dari golongan Muhajirin. Rasulullah SAW bersabda, “Kamu benar, siapakah yang boleh menyangkal perkataan kamu itu?”
Kemudian kami memberitahu Baginda apa yang telah dikatakan oleh saudara kami dari golongan Bani Hasyim. Rasulullah SAW bersabda, “Kamu benar, siapakah yang boleh menyangkal perkataan kamu itu?”
Lalu Rasulullah SAW bertanya, “Mahukah aku memutuskan berkenaan apa yang kamu katakan ini?”
Mereka menjawab, “Ya, wahai Rasulullah SAW. Kami sedia korbankan ibu bapa kami demi mu, ya Rasulullah!”
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya kalian wahai orang Ansar, aku adalah saudaramu.”
Mendengar itu, orang Ansar berkata, “Allahu akbar! Demi Rabb-nya Kaabah, kami sangat setuju dengan keputusan ini!”
“Adapun kamu wahai golongan Muhajirin, maka aku adalah dari kalangan kamu.”
Maka sahut mereka, “Allahu akbar! Demi Rabb-nya Kaabah. Kami sangat setuju dengan keputusan ini!”
“Manakala kamu wahai Bani Hasyim, maka kamu adalah sebahagian daripada aku dan kepada ku!”
Maka kami semua bangun dan kami reda dan gembira dengan apa yang diputuskan oleh Rasulullah SAW!” (Riwayat at-Tobarani)
Apa yang kita boleh pelajari daripada anekdot ringkas perbincangan para sahabat ini? Memang terlalu banyak jawapan yang boleh diberikan, namun yang ingin ditekankan di sini, dalam memberikan hujah masing-masing bagi menyokong bahawa pihak merekalah yang lebih istimewa di sisi Rasulullah SAW, mereka semua menyandarkan kepada betapa merekalah yang telah habis-habisan membantu Rasulullah SAW.
Bagi para sahabat, neraca tunggal untuk menilai kedudukan seseorang di sisi Rasulullah SAW ialah sejauhmana sesuatu kelompok itu telah bersusah payah bersama Rasulullah SAW dalam menunaikan agenda yang telah dipertanggungjawabkan Allah SWT ke atas mereka!

MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *