KUALA LUMPUR – Sebagai salah satu usaha menyokong Dasar Warga Emas Negara (DWEN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 28 Jun 2019, telah menyantuni 20 orang dari kalangan tersebut di sini.
Mereka telah diraikan dalam Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP), Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan DWEN Kuala Lumpur, di Sekolah Kebangsaan Cochrane (SKC).
Menerusi RIMUP, para pelajar dilatih untuk sentiasa menghargai dan menyantuni warga emas di kalangan masyarakat di komuniti mereka.
Sumbangan telah disampaikan Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Ar-Rahmah YADIM, Shahrizal Mat.
Guru Besar sekolah berkenaan, Siti Haida Mansor berkata, mereka yang disantuni merupakan penjaga kepada para pelajar di sekolah berkenaan.
“Kami hargai peranan YADIM yang berusaha mengadakan program seperti ini di SKC. Sememangnya kami berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak luar bagi memperbanyakkan program yang memberi impak kepada sekolah.
“Jadi dengan adanya program YADIM ini, ia bertepatan dengan hasrat pihak sekolah,’ katanya ketika ditemui.
Menurutnya lagi ini bukan kali pertama pihaknya bekerjasama dengan YADIM.
Jelas beliau pada bulan Februari lalu, SKC telah mengadakan Hari Kesusahawanan yang turut disertai Unit Muamalah, Bahagian Pembangunan Ummah YADIM ketika itu, dan seterusnya, pihaknya berhasrat untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan badan dakwah ini.
Majlis hari ini turut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKJC, Mohd Faisal Mohd Yasin serta ahli jawatankuasanya.
Dalam pada itu, Penyelaras YADIM Wilayah, Mohd Firdaus Mohd Rusli berkata, SKC dipilih untuk mengadakan program ini kerana komposisi pelajarnya yang seimbang dan memaparkan keharmonian kaum.
“SKC proaktif mempromosikan keharmonian kaum. Dengan komposisi pelajarnya yang seimbang, mereka saling menyantuni sesama pelajar, contohnya, ketika sambutan Deepavali lalu, pelajar Melayu mengadakan persembahan kepada pelajar India, hari ini pelajar India pula meraikan pelajar Melayu dalam sambutan Aidilfitri.
“Ia selaras dengan konsep Rahmatan Lil Alamin yang YADIM sebarluaskan selaras dengan hasrat kerajaan,” ujarnya.
Matlamat Dasar Warga Emas Negara adalah mendayaupayakan individu, keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap dan berkesan serta membangunkan persekitaran yang membantu warga emas hidup sejahtera.
KOMEN