LABUAN – Angkatan Tentera Malaysia ketika ini sedang melaksanakan Program Dakwah Kawasan Operasi (Prodaksi) di beberapa lokasi terpilih di Sabah dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) merupakan antara agensi agama yang turut sama menyertainya.
Prodaksi merupakan operasi tahunan pihak Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), yang pada asalnya disasarkan kepada anggota tentera yang bertugas di perbatasan.
Ia merupakan program dakwah yang ditujukan sebagai pengisian bina insan kepada anggota di kem dan pos tentera, contohnya di sempadan negara, namun sebagai mengambil tanggungjawab sosial, ianya diluaskan kepada masyarakat umum di sekitarnya.
Jemputan kepada YADIM disampaikan sendiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan KAGAT, Brigadier Jeneral Dato’ Haji Nawawi Daud dalam lawatannya ke YADIM pada 18 April lalu.
Program tahun ini bermula pada 18 Ogos di Pangkalan Udara Subang dengan persiapan peralatan logistik. Seterusnya, para peserta dari agensi agama terlibat berlepas ke Pangkalan Udara Labuan menaiki pesawat C-130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia keesokan harinya untuk majlis pelancaran Prodaksi.
Majlis pelancaran tahun ini diadakan bersama dengan Town Hall Rahmatan Lil ‘Alamin Peringkat Kementerian Pertahanan di Dewan Darul Kifayah di sini. Ianya disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf pada 19 Ogos.
Mewakili YADIM ialah Yang Dipertuanya, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz, Ketua Pegawai Operasi, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita, Ustaz Mohamad Hafiz Musa, Pengarah YADIM Sabah, Haji Samin Ongki, Penyelaras YADIM Wilayah, Firdaus Rusli serta beberapa kakitangan dan pegawai lain.
YADIM memulakan programnya dalam Prodaksi menerusi tiga kuliah Maghrib serentak oleh Nik Omar, Tuan Kamarul Arief dan Mohamad Hafiz, di Masjid Annur, Masjid Layang Layangan dan Masjid Sultan Muhammad V di sini.
Seterusnya pada 20 Ogos, Nik Omar melakukan kunjungan ke Pejabat Daerah Semporna. Beliau disambut oleh Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong serta Timbalannya, Abdul Imam Basiron.
Selain memaklumkan keberadaan selama dua hari, beliau turut membincangkan bebrapa perkara seperti peluang kerjasama, keselamatan, isu isu semasa dan sebagainya.
YADIM dijadualkan untuk terlibat dengan beberapa acara lagi selepas ini seperti Program Jiwa Murni Surau dan Kubur, agihan risalah agama, ziarah dakwah santai, forum perdana dan sebagainya.
Prodaksi 2019 akan berakhir pada 23 Ogos ini.
KOMEN