Home » Citra Yadim » YADIM sedia bantu media massa semak kesahihan maklumat agama

YADIM sedia bantu media massa semak kesahihan maklumat agama

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sedia membantu media massa dalam memastikan keshahihan maklumat agama dengan menyediakan perkhidmatan semakan skrip.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yadim, Zamri Zainal Abidin, menegaskan badan dakwah itu mempunyai unit penyelidikan dakwah yang berpengalaman dalam membantu kerja-kerja penyemakan kesahihan fakta.

“Hal ini adalah satu inisiatif daripada badan dakwah kami demi memastikan ketulenan sumber agama terpelihara di media massa,” katanya kepada Malaysiakini.

Mutakhir ini, pendakwah selebriti Don Daniyal Don Biyajid mencetuskan kontroversi apabila membawa kisah yang didakwa tidak diperakui keshahihan dalam agama.

Antaranya adalah, dia mendakwa Rasulullah pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan wanita berkenaan merupakan ‘cinta pertama’ baginda.

Kemudian Don Daniyal juga membuat dakwaan yang diragui mengenai kelebihan memandang wajah ulama yang didakwa berasal dari hadis palsu dalam rancangan Salam Baitullah di RTM sehingga dia direhatkan.

Terbaru, dalam slot soal jawab agama ‘Don Give U’ di stesen radio Suria FM, Don Daniyal mendakwa seseorang Muslim dibolehkan berpuasa pada hari raya kedua, ketiga dan keempat pada Aidiladha.

“Kalau tanya boleh tak puasa pada hari raya haji? Tak boleh kalau pada hari raya yang pertama. Hari raya kedua, hari raya ketiga, hari raya keempat bolehlah. Sama juga macam Aidilfitri,” katanya.

Dakwaannya ini ditegur oleh Rozaimi Ramle kerana menurut Rektor Kolej Universiri Islam Perlis (KUIPs) itu, adalah menjadi asas dalam feqah bahawa hari-hari tersebut termasuk hari diharamkan berpuasa.

Sementara itu, Zamri menasihati golongan pendakwah agar sentiasa rajin membuat rujukan sebelum membuat perkongsian dalam program yang terdapat di media massa.

“Para pendakwah harus memastikan pandangan ulama yang dinukilkan oleh mereka adalah pandangan yang muktabar bukannya ganjil,” katanya kepada Malaysiakini.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *