JOHOR BAHRU – ‘Hao, Hao’ (bagus, bagus)… ujar seorang warga emas di Persatuan Kebajikan Orang Tua Ceria Johor Bahru, sebaik menerima paket Ang Pao.
Senyuman tidak lekang daripada wajahnya selepas menerima paket merah mengandungi sedikit sumbangan itu. Dari kejauhan kelihatan dia teruja dengan kedatangan kami ke pusat jagaan warga emas itu.
‘”Gong Xi Fat Choi encik encik, datang Johor lagi nanti,”katanya lagi sambil melambai tangan, seakan belum puas berbual dengan kami, apabila kami melangkah kaki pergi ke program seterusnya.
Maaf uncle, bukan mahu segera pergi, tapi masa mencemburui.
Di bangunan Persatuan Kebajikan Orang Tua Ceria Johor Bahru itu hari ini (12 Februari), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia menyantuni seramai 110 penghuninya dengan sumbangan barangan dan sedikit wang tunai sempena Tahun Baru Cina.
Antara yang disumbangkan ialah empat set kerusi roda mandi, 70 beg lampin pakai buang, barangan keperluan dapur serta barangan penjagaan kebersihan.
Hadir menyampaikan sumbangan ialah Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah YADIM Johor, Muhamad Ammar Abdullah kepada pengurus pusat berkenaan, Kris Ng.
Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Cina Muslim Johor merangkap Setiausaha Persatuan Kebajikan Islam Malaysia Johor, Tuan Haji Saiful Choo Abdullah.
MACMA dalam majlis ini menyumbang meja makan, cadar, sarung bantal, pelitup muka, buah limau dan kuih bakul.
Usaha turun padang menyantuni golongan bukan Muslim ini selaras dengan hasrat YADIM yang mahu bersama dengan semua lapisan masyarakat di negara ini.
Malah badan dakwah ini tidak pernah membezakan latar belakang peserta atau masyarakat dalam sebarang program anjurannya.
KOMEN