JERANTUT – Sudah jatuh ditimpa tangga, sudah kering terjemur pula.
Demikian nasib seorang peneroka, Shaari Ahmad dari Felda Jengka 8 di sini.
Warga emas ini merupakan mangsa banjir yang melanda Pahang baru baru ini, dan kini kediamannya hangus terbakar musnah sama sekali.
Dia dan keluarganya kini tinggal sehelai sepinggang ekoran kejadian itu.
Mujur dalam kejadian malang pada 4 Februari sekitar jam 6 petang itu tiada kemalangan jiwa berlaku.
Prihatin dengan musibah yang menimpa warga emas ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 6 Februari telah menziarahinya serta menyampaikan sumbangan kecemasan awal berjumlah RM2,000.
Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan yang hadir sendiri menziarahi keluarga Shaari berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan beberapa rakan agensi untuk membantu membina semula kediaman Shaari.
Hadir sama ialah Tok Empat Jengka 8 Saharin Othman, Pengerusi Masjid Jengka 8, Ali Malik,Pengerusi Badan Bukan Kerajaan Kami Anak Felda, Jamilah Che Syafie dan Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia, Jamil Mat Daud,
Shaari kini menumpang sementara di Dewan Belia Felda Jengka 8.
Kebakaran yang menimpa Shaari viral di media sosial dan menyebabkan ramai netizen yang melahirkan simpati kepada keluarganya.
KOMEN