TENOM – Tiada kata dapat mengungkapkan perasaan sedih ditanggung seorang bapa yang kehilangan seluruh ahli keluarganya akibat musibah kebakaran.
Sudirman Hajar dari Kampung Menara Pamilaan, di sini kehilangan isteri, Khatijah Omar, serta tiga anaknya, Muhammad Asy Syakirin, Muhammad Zaid Hamidin, dan Lai Shafura dalam satu kebakaran yang juga memusnahkan kediaman mereka sepenuhnya pada awal pagi 31 Disember lalu. Kejadian itu turut mengorbankan anak saudara isterinya, Nor Safadira Suhaili.
Bagi tujuan meringankan bebanan ditanggung Sudirman, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah, tampil menyampaikan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada Sudirman pada 12 Februari.
Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh yang menemui Sudirman di sini. Hadir sama ialah Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki serta beberapa pemimpin tempatan.
Tuan Kamarul Arief turut meluangkan masa melawat tapak kejadian bersama Sudirman selain memberikan kata kata semangat kepadanya agar tabah menghadapi ujian ini.
Dalam kejadian sekitar jam 12.30 malam itu, Balai Bomba dan Penyelamat Tenom yang diketuai Zainal Sinsian bersama lima anggota telah dikerah ke lokasi kejadian menggunakan sebuah jentera.
Sebaik tiba di lokasi, mereka mendapati kediaman Sudirman telah terbakar sepenuhnya.
Dalam operasi itu, bomba menemui lima mangsa telah rentung di dalam rumah manakala Sudirman yang melecur di kepala dan badan telah dibawa ke Hospital Tenom oleh orang awam sebelum itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah dilaporkan berkata kepada media sebelum ini, hasil siasatan pasukan forensik di lokasi kejadian mendapati beberapa bukti menjurus kepada cetusan bermula daripada sumber elektrik hingga menyebabkan kebakaran.
***
Mari sama sama menyumbang kepada Tabung Infaq YADIM. Sumbangan anda membolehkan YADIM menjalankan gerak kerja dakwahnya.
YADIM menyantuni mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.
Sumbangan boleh dilaksanakan secara dalam talian dengan melayari halaman utama laman web ini atau menghubungi Bahagian Pelaburan dan Dana Infaq YADIM di talian 03-8870 3870
Sumbangan yang disampaikan adalah layak untuk mendapat pengecualian cukai (No. Warta G.N. 3395 Bertarikh 25 Januari 1974 -HQ 162/2077)
YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA
MAYBANK
566010625428
Terima Kasih
FASTABIQUL KHAIRAT ‘Mengejar Kebaikan’
KOMEN