KOTA KINABALU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah pada 17 Januari melancarkan kempen Prihatin Pitas 2021 bagi membantu penduduk daerah Pitas yang terjejas teruk akibat banjir.
Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki memberitahu, kempen sehingga Rabu depan ini, akan membuka empat buah lokasi penyerahan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan.
Pusat penyerahan sumbangan yang disediakan iaitu di Masjid Al Kauthar Tanjung Aru, Azam Cafe Wisma Majlis Ugama Islam, Restoran Gulai Petagas dan Restoran Al Hamra Pekan Baru Kinarut.
Pitas adalah antara yang terjejas teruk akibat banjir besar pada minggu ini dan YADIM Sabah sukacita memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk menghulur bantuan melalui kempen ini.
YADIM Sabah menyasarkan untuk mengumpul 1,000 beg beras 5 kilogram (kg), 1,000 kg gula dan 1000 tin sardin yang boleh diserahkan di lokasi yang ditetapkan sekitar bandaraya Kota Kinabalu dan Putatan.
Sumbangan untuk kempen ini dijadual akan dihantar pada Khamis.
Sebelum ini YADIM Sabah juga melancarkan Kempen Bakul Makanan Perintah Kawalan Pergerakan di Papar, Lahad Datu, Tamparuli, Tawau, Kunak dan Kota Marudu.
KOMEN