Home » Citra Yadim » YADIM, RTM rai anak yatim

YADIM, RTM rai anak yatim

PAPAR 4 Jan. –  Seramai 85 anak yatim ceria apabila menerima barangan keperluan harian dan wang tunai menerusi program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Cawangan Sabah dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Mereka adalah penghuni Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu dan Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Papar yang diraikan dalam Program Ramah Mesra YADIM / RTIM di di Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, di sini pada 29 Disember lalu.

Program itu yang dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin adalah sebahagian usaha YADIM Cawangan Sabah dengan kerjasama RTM untuk mendekati masyarakat yang memerlukan perhatian, khususnya golongan anak yatim.

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar, berkata program seumpama itu harus dipergiatkan lagi dan dijadikan sebagai acara tahunan, di samping diperluaskan merentasi batas agama.

”Saya mencadangkan kepada YADIM agar acara seperti ini dijalankan secara tahunan untuk kita meraikan mereka yang memerlukan perhatian seperti anak yatim. Pihak saya sendiri sedia bekerjasama bagi menjayakan program murni seperti ini.

‘Pada masa sama, saya berpendapat tiba masanya agensi agama seperti YADIM lebih terbuka untuk menganjurkan program merentasi batas agama dan tidak hanya terikat dengan program tradisi seperti hari kebesaran Islam dan aktiviti di masjid saja.

“Malah, saya yakin kerjasama antara YADIM dengan agensi kerajaan RTM berupaya mendekatkan hubungan kedua-dua pihak ini dengan masyarakat umum,” katanya.

Turut hadir, Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki; Pemangku Pengarah RTM Sabah, Malinaziah Datu Mohd Julaspi; Pengetua Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Arabiah Harun dan Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman.

Sementara itu, penghuni Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Hamidi Jowanda, 13, gembira kerana diraikan dalam program berkenaan dan berterima kasih kepada penganjur atas sumbangan wang tunai serta barangan keperluan harian.

”Saya gembira kerana diraikan oleh YADIM dan RTM kerana ini sebahagian pengisian serta aktiviti ketika cuti sekolah. Saya seronok tinggal di Rumah As-Sakinah kerana ramai kawan, jadi saya tidak berasa sunyi,” katanya yang berasal dari Tenom.- BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *