PUTRAJAYA – Sesuai dengan hasrat kerajaan memperkasakan Maqasid Syariah serta matlamat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melaksanakan kerja kerja dakwah, satu wacana berhubung pendekatan itu akan diadakan di sini pada 21 April depan.
Program ‘Wacana Maqasid Syariah Dalam Konteks Dakwah’ anjuran YADIM dan Akademi Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah (NUNJI) ini, bermatlamat membuka ruang dialog/wacana di kalangan para asatizah terhadap isu isu pendekatan Maqasid Syariah di negara ini.
Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin berkata, kumpulan sasar bagi wacana ini ialah para pendakwah khususnya asatizah yang berfikiran maqasid.
“Kita sasarkan peserta dari kalangan sekretariat agama pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fellow Akademi Nunji, Asatizah Care, Sahabat YADIM, pemimpin NGO serta individu individu terpilih. Bagi penganjuran kali pertama kita jangkakan kehadiran sekitar 80 orang.
“Penganjuran kali pertama akan dilakukan di Bilik Latihan YADIM di sini, sebelum siri-siri seterusnya, kita berhasrat untuk adakan 12 kesemuanya,‘ kata beliau semasa mempengerusikan mesyuarat pelaksanaan program wacana itu di sini hari ini (27 Mac 2019).
Hadir sama ialah Pengarah Akademi NUNJI, Shahir Ariffin bin Ahmad Fadhil.
Dalam pada itu Zolkharnain berkata, Shahir Ariffin juga akan bertindak selaku tenaga pengendali wacana tersebut selain tokoh tokoh lain seperti Fawwaz Fadhil, Musa Mohammad, Marwan Mohammad, Wan Ji Wan Husin, Abu Hafiz Sallehudin serta lain lain yang akan dikenal pasti kelak.
Shahir pula memberitahu, bagi wacana kali pertama, pihaknya akan menampilkan ulama terkenal dari Mauritania, Dr Ahmad Al Mukhtar Al Syinqithi yang akan membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pemikiran Al Kawakibi Dalam Trajektori Malaysia Baru’.
“Ucapan perasmian akan disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua YADIM, kemudian kita adakan sesi pembentangan dalam Bahasa Inggeris oleh Dr Ahmad Mukhtar, manakala Ustaz Marwan Bukhari A. Hamid dari Institut Maqasid Shariah Malaysia akan menjadi moderatornya,”ujar beliau.
KOMEN