PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan PTS Publication & Distributors Sdn Bhd hari ini (10 Oktober) menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) berhubung penerbitan komik bagi tujuan dakwah.
Mewakili YADIM ialah Yang Dipertuanya, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz, manakala PTS oleh Penasihatnya, Yang Berusaha Profesor Emeritus Abdullah Hassan.
Majlis menandatangani perjanjian turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan pengurusan kanan PTS sendiri.
Menerusi MoA berkenaan, YADIM akan berperanan sebagai penerbit bersama dan menyediakan hala tuju bagi penyediaan siri komik dakwah dengan bantuan dan cadangan dari PTS.
PTS pula akan mewujudkan watak komik baharu yang sesuai dengan aspirasi, visi dan misi YADIM. Pemilihan pasukan penerbitan, kandungan komik, konsep editorial adalah dengan panduan daripada YADIM.
Setiap proses dalam menyiapkan penerbitan komik ini adalah menerusi perbincangan bersama di antara pihak YADIM dengan PTS.
Komik yang diterbitkan nanti akan diedarkan oleh PTS ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Selain format bercetak, PTS juga bertanggungjawab memasarkan ianya dalam format elektronik melalui google playbook,ibookstore dan e-sentral.com.
Kedua-dua pihak iaitu PTS dan YADIM akan menjalankan kerja-kerja promosi komik ini secara bersama.
Komik setebal 128 muka surat berwarna sepenuhnya ini dijangka akan dilancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada bulan Mac atau April 2020.
KOMEN