PUTRAJAYA 10 Jun – Jelajah Muamalah Ummah (JMU) 2017 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan meneruskan usaha untuk memberi penerangan kepada golongan muda mengenai kepentingan muamalah Islam dalam kehidupan.
Yang Dipertua YADIM, Dr. Yusri Mohamad berkata, objektif utama JMU yang bermula hari ini hingga 15 Jun adalah untuk membudayakan pemikiran pemikiran serta pemahaman masyarakat Islam terhadap kewajipan bermuamalah dengan dengan sistem kewangan Islam berdasarkan al-Quran dan as-sunnah.
Kata beliau, jelajah melibatkan politeknik selatan tanah air iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan itu turut bertujuan untuk menjawab pelbagai persoalan serta permasalah ummah.
“Objektif kita adalah untuk memperluaskan dakwah muamalah kerana perkara ini masih lagi menjadi satu bentuk cabaran dalam masyarakat. Terdapat skim-skim yang berselindung atas nama pelaburan telah menjerat ramai mangsa akhir-akhir ini.
“Oleh kerana itu, kita berharap jelajah ini dapat mencapai objektifnya terutama dengan keberkatan bulan Ramadan, insya-Allah,’’ katanya ketika berucap dalam majlis perlepasan konvoi JMU di Kompleks Islam di sini hari ni.
Konvoi sebanyak 100 orang terdiri daripada kakitangan YADIM, politeknik serta badan-badan lain itu bergerak dari Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan menuju Politeknik Mersing dan seterusnya ke Politekni Ibrahim Sultan, Politeknik Merlimau, Melaka dan Politeknik Port Dickson.
Pelbagai acara menarik disediakan oleh pihak politeknik di setiap lokasi persinggahan konvoi seperti karnival muamalah Islam, memasak bubur lambuk, program khidmat bakti masyarakat, majlis khtam al-Quran, singgah sahur, majlis iftar perdana dan lawatan ke perkampungan Orang Asli.
Program ini merupakan satu kerjasama di antara YADIM, Jabatan Pendidikan Politeknik, Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Persatuan Institusi-institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Yayasan Taqwa. – www.utusan.com.my
KOMEN