SUNGAI PETANI – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kedah meneruskan program Nahnu Maakum – Sumbangan Rahmah bagi siri keenam tahun ini pada 28 September 2019 bertempat di Surau Pantai Murni, Yan, Kedah.
Pengarah YADIM Kedah, Habsah Husain berkata, program ini adalah anjuran bersama YADIM dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Yan serta mendapat kerjasama daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Beliau berkata, objektif program ini adalah untuk menyantuni dan prihatin kepada keluarga miskin, golongan asnaf dan yatim yang tidak berkemampuan serta mengeratkan hubungan bersama masyarakat yang terpinggir melalui pendekatan program kemasyarakatan.
Menurutnya, program di Yan itu adalah kali ini yang keenam, selepas Pantai Merdeka pada 11 Mei, Baling pada 25 Mei, Kulim pada 22 Jun, Pendang pada 27 Julai dan Padang Terap 16 pada September.
Antara acara menarik pada program itu nanti adalah ceramah oleh Daie Afiqah Mahmud yang akan membawa topik `Ukhuwah Kesejahteraan Ummah’ dan penyerahan sumbangan kepada 15 keluarga asnaf dan miskin.
Selain itu turut diadakan adalah cabutan nombor bertuah yang ditaja oleh YaPEIM serta program ziarah ke rumah pesakit kronik di Kawasan berkenaan.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program ini sambil mendengar perkongsian ilmu oleh penceramah jemputan.
KOMEN