YADIM merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air atas sikap memartabatkan Bahasa Melayu dalam ucapan yang disampaikan beliau dalam Kenyataan Negara di Persidangan Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNFCCC COP-26 di Glasgow pada 10 November 2021.
Ucapan YB Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim dengan berbahasa Melayu adalah satu usaha murni yang amat membanggakan negara dan rakyat Malaysia dan YADIM khasnya.
Ini kerana ucapan beliau di persidangan penting peringkat antarabangsa yang dihadiri oleh majoriti negara luar ini telah mengharumkan imej dan nama negara yang memiliki keunggulan jatidiri dengan bahasa ibunda sendiri disamping mesej utama ucapan iaitu sumbang saran dari pihak Malaysia di persada dunia dalam isu alam sekitar.
Sepertimana diketahui majoriti pemimpin dunia dalam persidangan ini bertutur dalam bahasa selain bahasa Inggeris, jesteru langkah yang diambil oleh YB Menteri KASA bukanlah sesuatu yang merendahkan taraf bahkan menonjolkan kemegahan dan jati diri bangsa.
YADIM selaku agensi yang sentiasa mendokong dan menyokong sebarang usaha memartabatkan negara, bangsa dan agama sepertimana tuntutan Islam dan selaras dengan peruntukan perlembagaan, dengan ini menzahirkan kesyukuran kerana ada pemimpin negara Malaysia yang mampu menzahirkan rasa bangga dan cintakan bahasa ibunda serta bertutur di perhimpunan masyarakat dan pemimpin dunia.
Semoga langkah yang dibuat oleh YB Dato Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man Menteri Alam Sekitar dan Air, akan mencetuskan gelombang cinta dan bangga kepada bahasa kebangsaan yang akan diikuti oleh seluruh rakyat dan pemimpin negara demi negara dan bahasa yang tercinta.
Bahasa Jiwa Bangsa
YANG DIPERTUA YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA
USTAZ NASRUDIN BIN HASSAN
11 NOVEMBER 2021
KOMEN