Home » Analitis » Yadim memperkasa agenda dakwah

Yadim memperkasa agenda dakwah

fotoyangdipertuaHari ini cukup seminggu, saya mula bertugas di tempat baru, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) setelah diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melantik saya sebagai Yang Dipertua.

Sesungguhnya kepercayaan yang diberikan ini amat besar tanggungjawabnya, apatah lagi untuk menerajui organisasi dakwah tertua yang diasaskan oleh ayahandanya sendiri Tun Abdul Razak.

Ramai kenalan dalam industri kewangan Islam terkejut dengan keputusan penulis menerima pelawaan Perdana Menteri ini. Seolah-olah penulis meninggalkan terus bidang kepakaran dalam kewangan Islam.

Jawapan penulis kepada semua bahawa ALLAH telah menentukan taklif (tanggungjawab) yang lebih besar setelah menempuh tahun-tahun ‘keselesaan’ dalam dunia korporat dan perbankan.

Sesungguhnya dakwah Islamiah bukan hanya terhad dalam bidang kewangan Islam semata-mata.

Malah penulis bukanlah meninggalkan terus bidang yang amat dekat di hati kerana masih dapat menyumbang sebagai Penasihat Syariah di beberapa institusi perbankan Islam dan takaful dalam dan luar negara.

Cuma skop dakwah penulis kini lebih mencapah tidak hanya terbatas pada bidang muamalah Islam sahaja.

Malah bidang muamalah kewangan Islam juga termasuk sebahagian agenda dakwah kepada masyarakat agar lebih memahami aspek halal-haram dalam aktiviti-aktiviti ekonomi seharian.

Penulis melihat Yadim mempunyai potensi besar untuk menyemarakkan agenda Islam dalam banyak aspek termasuklah bidang muamalah Islam yang menjadi kepakaran penulis.

Diasaskan pada 1974, Yadim merupakan organisasi dakwah Islam pertama ditubuhkan kerajaan bagi tujuan menyelaras segala kegiatan menyemarakkan kesedaran dan meratakan kefahaman Islam di Malaysia.

Ini termasuklah menjadi penghubung penting antara kerajaan dengan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam melalui penganjuran pelbagai bentuk program yang dapat merealisasikan hasrat dan cita-cita luhur kerajaan memartabatkan Islam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebab itulah Yadim satu ketika begitu dihormati kerana menjadi wadah pemersatuan ummah tanpa mengira ideologi parti mahupun kerencaman fikrah pelbagai organisasi.

Malah ketika ia ditubuhkan, beberapa tokoh pimpinan Pas utama turut terlibat dalam organisasi seperti Tuan Haji Hassan Adli Arshad yang dilantik Timbalan Yang Dipertua dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (mantan MB Kelantan) selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah untuk bersama-sama YDP pertama Yadim ketika itu, YB Tan Sri Syed Nasir Ismail.

Pelbagai aktiviti bertujuan menyemarakkan agenda Islam dianjurkan sehingga Yadim begitu sinonim dengan program seperti Bulan Dakwah dan Majlis Penganugerahan Ibu Mithali.

Selain itu juga beberapa platform penting seperti Majlis Amal Islami Malaysia (Maim), Nadwah Ulama dan Ilmuan Islam Malaysia (Nuim) dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) diwujudkan bagi tujuan menggerakkan agenda Islam secara kolektif dengan pelbagai kelompok masyarakat seperti pertubuhan-pertubuhan Islam bukan kerajaan, ulama dan cendekiawan serta wanita Islam.

Yadim cukup dihormati di peringkat antarabangsa kerana hubungan akrabnya mewakili negara dengan pelbagai organisasi dakwah seperti Rabitah Alam al-Islami yang berpusat di Makkah dan juga di kalangan ulama dan organisasi Islam serantau Nusantara.

Sesungguhnya agenda memartabatkan Islam tentunya tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan secara menyendiri atau bersifat ‘ananiah’ iaitu perasaan angkuh dan sombong seolah-olah kerja-kerja Islam hanya milik individu atau organisasi tertentu semata-mata. Apatah lagi dalam landskap dunia yang telah jauh berubah dengan kecanggihan teknologi sehingga dunia semakin kecil dan tanpa sempadan.

Sudah pastilah dakwah Islamiah hari ini memerlukan suntikan baru dengan wajah dan pendekatan lebih segar dan dinamik seiring dengan realiti zaman masa kini. Ini sejajar dengan firman ALLAH “Serulah ke jalan Tuhanmu (berdakwah) dengan hikmah kebijaksanaan dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik “. (Al-Nahl:125)

Justeru, sudah tiba masanya untuk umat Islam melakukan muhasabah diri agar setiap kita dapat berperanan dalam agenda dakwah dengan lebih berkesan. Sesungguhnya taklif dakwah bukan hanya terletak di bahu individu mahupun organisasi tertentu semata-mata.

Malah setiap yang mengaku beriman dengan sendirinya terpikul amanah dakwah yang bakal dipertanggungjawabkan ALLAH di akhirat kelak. Mudah-mudahan ALLAH memberkati dan memudahkan usaha kita semua dalam rangka memartabatkan agenda Islam.

Artikel daripada www.sinarharian.com.my

 

 

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *