KUALA TERENGGANU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berhasrat meningkatkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin antara badan dakwah ini dengan kerajaan negeri Terengganu.
Bagi mencapai tujuan tersebut, YADIM sedia menghulur tangan bagi mengadakan hubungan strategik dengan kerajaan negeri ini, khususnya dalam usaha melestarikan gerakan dakwah.
Ia antara hasrat yang disampaikan oleh Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nasrudin Hassan dalam kunjungan beliau kepada Menteri Besar Terengganu, Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di pejabatnya di sini pada 10 September.
Turut disentuh dalam perbincangan tersebut ialah perkongsian aktiviti dakwah secara bersama disamping hubungan strategik menggunapakai fasiliti dan kemudahan bagi melestarikan dakwah di negeri ini.
Pertemuan ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang.
Selesai bertemu dengan Menteri Besar, Ustaz Nasrudin kemudiannya mengetuai delegasi YADIM bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Turut sama ialah wakil daripada agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Didik Ulamak Amilin Terengganu, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera, Urusetia Penerangan Darul Iman dan Yayasan Islam Terengganu.
YADIM telah lama bekerjasama erat dengan kerajaan Terengganu.
Antara program YADIM dengan agensi agensi kerajaan negeri Terengganu yang telah lama diadakan secara bersama termasuklah Transformasi Anak Muda dan Bicara Dakwah.
YADIM Terengganu juga melaksanakan program Musa’adah Covid-19 di negeri ini dengan komitmen untuk menyantuni 1,000 nelayan yang terkesan dengan wabak berkenaan.
KOMEN