PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi berbincang mengenai isu iklan lucah di media sosial dan internet.
Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akui kanak-kanak dan remaja kini terdedah dengan iklan-iklan lucah di laman sosial terutama ketika sedang mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
“Kita mahu bantu masyarakat supaya tidak lagi terdedah dengan iklan-iklan lucah ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup Bulan Dakwah 2021, di sini pada 19 Januari.
Dalam pada itu, Nasrudin berkata, YADIM pada masa ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja dakwah berbanding penyaluran bantuan kebajikan kepada orang ramai.
Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai tidak salah faham mengenai hasrat itu kerana apa yang penting, fokus utama YADIM adalah gerakan dakwah.
Beliau berkata, ia bukan bermakna yayasan berkenaan tidak prihatin kepada kerja-kerja kebajikan, sebaliknya pihaknya melihat sudah banyak gerakan kebajikan dilaksanakan pelbagai agensi dan pertubuhan di negara ini.
“Kalau pun YADIM turun pada program kebajikan, kita akan bekerjasama dengan agensi lain supaya kos yang ada dapat kita jimatkan dan fokus kepada kerja-kerja dakwah.
“Kami dapati tidak banyak agensi atau pertubuhan yang fokus kepada kerja-kerja dakwah di negara ini, justeru, biarlah kos yang ada disalurkan kepada gerak kerja dakwah,” katanya.
Sementara itu, Nasrudin dalam ucapannya berkata, YADIM meletakkan lima fokus gerakan dakwah tahun ini membabitkan dakwah di pentas antarabangsa; dakwah anak muda; dakwah penyatuan ummah; dakwah saudara baru dan golongan ‘not yet Islam’ serta dakwah melahirkan pendakwah berkualiti. – Utusan Digital
KOMEN