JOHOR BHARU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan Sesi Moral Minggu Mesra Mahasiswa 2020 untuk pelajar kemasukan 2020/2021 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.
Sesi tersebut adalah untuk pelajar bukan Islam UTM, dijalankan secara dalam talian selama dua hari pada 11 dan 12 Oktober, dikendalikan oleh penceramah YADIM Johor, yang juga merupakan Sukarelawan YADIM, Ustaz Muhammad Ridhuan Tan Abdullah.
Kepercayaan yang diberikan kepada YADIM Johor ini adalah hasil kejayaan mengadakan program program bersama golongan bukan Muslim secara konsisten sejak tahun 2017 lagi.
Antara program tersebut termasuklah ‘Program Apa Itu Halal ?’ dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia di Kolej Selatan di sini kepada pelajar berketurunan Cina dan ‘Program Budaya dan Harmoni’.
YADIM Johor ketika ini turut menganjurkan kelas Bahasa Mandarin kepada orang ramai yang berminat mempelajarinya.
Tahun ini merupakan kali kedua YADIM Johor diberi kepercayaan mengendalikan sesi ini selepas kali pertama pada tahun lepas.
Walaupun sesi tahun ini diadakan secara dalam talian akibat wabak Covid-19, pemerhatian yang dibuat ketika sesi dibuat menunjukkan para pelajar baharu UTM memberikan reaksi dan komen komen yang positif terhadap sesi yang dijalankan.
Muhammad Ridhuan Tan dalam sesi beliau menyentuh mengenai toleransi, perpaduan, keharmonian dan bagaimana keunikan antara agama, budaya dan kaum di negara ini mesti dipertahankan.
Kebolehannya bertutur dalam beberapa bahasa juga berjaya menarik perhatian penonton untuk mengikuti sesi tersebut.
Seramai 3,400 pelajar baharu mendaftar bagi sesi 2020/2021 di UTM. Bagi pelajar Muslim, mereka mengikuti sesi kuliah Maghrib di Facebook Masjid Sultan Ismail, UTM.
KOMEN