PUTRAJAYA – Pembangunan kandungan dakwah digital dan program dakwah untuk generasi muda ialah antara fokus cadangan kerjasama antara YADIM dan Kementerian Agama Jakarta Republik Indonesia (KEMENAG RI).
Menerusi perbincangan berkenaan kedua pihak bersetuju, fokus program perlu diberikan kepada generasi muda menggunakan kaedah dan jalan yang dekat dengan golongan berkenaan.
Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan ketika mengutarakan cadangan itu memberikan contoh di Malaysia, kandungan video menerusi platform seperti Tiktok dan Facebook kini menjadi pilihan anak anak muda untuk mendekati dunia dakwah.
“Gunakan video pendek dengan durasi kurang tiga minit untuk disebarkan, ceramah yang penjang gunakan kaedah ini tidak menjadi pilihan,” ujarnya dalam perbincangan dalam sesi kunjung hormat ini.
Perbincangan dalam talian selama lebih sejam itu merupakan pengisian utama dalam Kunjung Hormat Secara Maya KEMENAG RI dan YADIM pada 21 Jun.
KEMENAG RI diwakili oleh Direktur Penerangan Agama Islam Direktorat Jenderal Bimbingan Islam, Yang Berhormat Dr H Syamsul Bahri dan Ketua Koordinator Dakwah dan Hari Besar Islam Direktorat Penerangan Agama Islam, Ibu Hajah Lubenah.
Mewakili YADIM pula ialah Yang Dipertuanya, Ustaz Nasrudin dan Pengarah Kanan di Pejabat Yang Dipertua YADIM, Dr Masitah Esa.
Dalam perbincangan yang sama, turut dipersetujui ialah pertemuan pendakwah muda antara dua negara ini.
Dr H Syamsul berkata, memandangkan Covid-19 kini semakin reda, pihaknya yakin pertemuan itu nanti akan membuahkan hasil bermanfaat bagi kedua dua pihak.
“Kita harap agar segera terjadi program fizikal melibatkan Malaysia dan Indonesia bagi tugas tugas dakwah,” katanya.
KOMEN