TOK BALI – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan terus giat melaksanakan pelbagai program dakwah untuk orang ramai apabila terkini menyantuni lebih 100 pelajar sekolah menengah di sini.
Dengan menyasarkan para pelajar dari pelbagai latar belakang berisiko, mereka didedahkan dengan konsep Fastabiqul Khairat (mengejar kebaikan) menerusi program Transformasi Orang Muda : Kem Perkasa Aqidah di Sweet Beach Resort di sini sebagai pengisian rohani, dan menyediakan mereka sebagai barisan pelapis kepimpinan.
Program Transformasi Orang Muda dirangka khas bagi menyantuni dan memperkasa belia ke arah menjadi anak muda berjati diri cemerlang dan mampu mengalas tanggungjawab dalam masyarakat.
Para pelajar terpilih adalah dari sekolah di Baroh Pial, Kangkong, Tendong, Bunut Susu, Sri Kiambang, Kedondong, Gual Periuk, Chetok, Rantau Panjang dan Meranti.
Program selama tiga hari dua malam yang berakhir pada 8 Ogos disempurnakan perasmian penutupnya oleh Pemangku Pengarah YADIM Kelantan, Yusnita Mohamed Yusoff.
Dalam ucapannya, beliau menekankan perlunya para pelajar mengamalkan sahsiah Islamiah serta berpegang kepada aqidah Islam yang sebenar.
“Tidak dinafikan mereka berisiko terdedah kepada gejala sosial di luar sana jika kita tidak mendekati mereka, justeru YADIM lakukan pengisian rohani untuk para pelajar ini.
“Menerusi program ini, kita juga berhasrat membumikan gagasan Rahmatan Lil Alamin di kalangan pelajar serta memasyarakatkan YADIM supaya badan ini lebih dikenali dan dekat dengan masyarakat,”ujarnya.
Sementara itu, antara pengisian program kali ini termasuklah ceramah motivasi mengenai konsep rahmah dan Fastabiqul khairat, bengkel kemahiran, persembahan gerak kerja, aktiviti luar dan sebagainya.
Turut disentuh dalam sesi motivasi ialah kepentingan menghormati guru, serta institusi sekolah yang berperanan mendidik dan menyediakan mereka untuk masa depan.
Program kali ini turut mendapat kerjasama mahasiswa dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Sultan Azlan Shah, yang bertindak selaku fasilitator selain penglibatan Alumni Transformasi Orang Muda.
KOMEN