SELISING – Dengan hanya 250 orang pelajar, Sekolah Kebangsaan Danan di sini dianggap sebuah sekolah dengan kapasiti kecil. Ditambah dengan bilangan guru seramai 28 orang sahaja, serta seorang kerani.
Namun ia bukan alasan untuk ianya dipinggirkan, justeru atas sebab itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan pada 31 Julai telah mengadakan sesi motivasi dan pengajian ilmu untuk para penjaga dan waris pelajarnya.
Ia mendapat sambutan yang menggalakkan apabila dewan tempat program dipenuhi lebih 200 ibu bapa pelajar yang hadir untuk mendengar ceramah oleh Pegawai Sulh Mahkamah Syariah Pasir Mas, Ustaz Wan Azimin Wan Adnan.
Wan Azimin dalam ceramah bertajuk ‘Keluarga Rahmah’, menekankan betapa keluarga yang harmoni dan mengamalkan ajaran Islam berperanan besar membentuk keperibadian dan mentaliti anak anak di rumah dan seterusnya pelajar di sekolah, sekaligus menyumbang kepada kecemerlangan mereka.
Program ini juga bermatlamat memasyarakatkan YADIM di kalangan penduduk, supaya mereka merasakan badan dakwah ini sentiasa dekat dengan mereka.
Sementara itu hadir sama ialah Pemangku Pengarah YADIM Kelantan, Yusnita Mohamed Yusoff yang menyempurnakan upacara penutupan majlis.
Selaras dengan ceramah Wan Azimin, Yusnita menyeru ibu bapa dan waris mengamalkan konsep rahmah dan Fastabiqul Khairat (berlumba lumba mengerjakan kebaikan) dalam mengharmonikan keluarga.
KOMEN