KOTA BHARU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan telah secara rasminya diberi kebenaran mengutip zakat harta apabila diberi tauliah sebagai amil di negeri ini.
Lantikan oleh Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) itu berkuat kuasa Mac hingga 31 Disember 2019 ini, namun boleh disambung sekiranya ada pungutan zakat.
Pengarah YADIM Zon Timur, Ustaz Mahadi Awang berkata, lantikan berkenaan akan membolehkan pihaknya menambah dana bagi tujuan dakwah.
“Kita mengalu alukan dan mempelawa pihak korporat atau individu untuk membayar zakat melalui YADIM terutama zakat harta atau perniagaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada MAIK atas kepercayaan yang diberikan dan melantik YADIM sebagai salah satu organisasi bagi mengurus kutipan zakat negeri Kelantan,” katanya.
YADIM Zon Timur Cawangan Kelantan sememangnya aktif melaksanakan program dakwah di negeri tersebut.
Terbaharu, pada 18 Mac lalu mereka melaksanakan program Ziarah Rahmah kepada golongan kurang bernasib baik, termasuk saudara baharu di sekitar Kota Bharu.
Kepada pihak yang berhasrat menunaikan zakat melalui YADIM Kelantan, boleh menghubungi talian 09-7419186/85 atau hadir ke Tingkat 8, Bangunan Tabung Haji, Wisma Ilmu, Jalan Doktor, Kota Bharu.
KOMEN