KOTA BHARU 24 Ogos – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) cawangan Kelantan telah mengadakan program Ziarah Prihatin Sukarelawan Al-Falah Yadim bertempat di Kampung Haji Walid, Beris, Bachok pada 20 Ogos 2016 lalu.
Pengurus Eksekutif Yadim Zon Timur, Mahadi Awang berkata, dalam program itu, Yadim telah menyampaikan sumbangan kepada 12 penduduk kampung berkenaan yang terdiri daripada mereka yang mengidap pelbagai penyakit dan golongan miskin.
“Program ini disertai oleh dua pasukan Sukarelawan Al-Falah iaitu Sukarelawan Al-Falah dari Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) yang memberi perkhidmatan dari segi pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat percuma dan Sukarelawan Al-Falah Bachok yang membantu dari segi memberi perkhidmatan sebagai penunjuk arah rumah-rumah pesakit dan warga miskin dan membiayai kos makan minum,’’ katanya.
Beliau berkata, para penerima bantuan itu adalah mereka yang hidup dalam kemiskinan serta mengidap pelbagai penyakit serta warga emas termasuk yang berumur 92 tahun.
Katanya, program ini adalah amat baik dalam rangka Yadim melalui pasukan Sukarelawan Al-Falah membantu penduduk di kawasan luar bandar yang masih ramai tidak mendapat bantuan termasuk dari segi rawatan susulan.
Justeru katanya, Yadim akan terus mengadakan lawatan susulan ke kampung berkenaan pada masa akan datang agar perkhidmatan susulan dapat diberikan kepada penduduk terbabit.
“Ini adalah bentuk dakwah yang ingin Yadim laksanakan dengan lebih kerap lagi kerana dalam usaha membantu masyarakat kurang bernasib baik, banyak mesej-mesej dakwah dapat disalurkan secara tidak langsung.
“Yadim juga berharap dapat membawa ke tengah isu-isu kemiskinan ini ke pihak bertanggungjawab terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat, agar golongan miskin, warga tua dan mereka yang terlantar sakit ini dapat ditangani dengan baik dan berkesan,’’ katanya.
Dalam lawatan itu, katanya, pihak Sukarelawan Al-Falah KPTM turut memberikan nasihat kepada penduduk kampung mengenai gaya hidup sihat.
KOMEN