PASIR PUTEH 19 Nov. : Majlis Dakwah Negara (MDN) diberi kuasa autonomi oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk menggerakkan usaha dakwah, termasuk membina jalinan perpaduan masyarakat.
Yang Dipertua YADIM, Dr Yusri Mohamad, berkata MDN boleh menggerakkan badan itu mewakili umat Islam khususnya di Kelantan sebagai suara ketiga atau kumpulan pendesak yang tidak bersifat politik.
Beliau berkata, MDN harus bersedia mengetepikan apa sahaja tanggapan orang ramai terhadap fungsi badan itu serta perlu menggerakkan Majlis Permuafakatan Ilmuan dan Profesional Kelantan, yang diwujudkan menerusi hasil keputusan sesi pemukiman hari ini.
“Hasil sesi pemukiman hari ini, kita dapati ada satu keperluan kepada membentuk suara ketiga atau kumpulan pendesak bagi mewujudkan kesepakatan untuk menjayakan agenda membantu masyarakat Kelantan.
“Ia bantuan dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosial, politik dan juga budaya, sama ada membabitkan Kerajaan Pusat mahupun negeri,” katanya berucap pada majlis penutup Retreat Ilmuan dan Profesional Kelantan 2016 di Tok Aman Bali Resort, di sini hari ini.
Yusri berharap MDN bergerak dan berperanan sebagai badan bebas, berkecuali serta berintegriti. “MDN perlu bergerak dengan penuh integriti dan tidak berkepentingan berasaskan puak atau peribadi melainkan untuk membantu rakyat Kelantan,” katanya. – https://www.bharian.com.my
KOMEN