BANGI – Usaha menghimpunkan ahli-ahli Sahabat YADIM dari 26 Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S) seluruh Malaysia telah berjaya direalisasikan dalam satu Konvensyen Kebangsaan Sahabat YADIM 2015 yang bertempat di Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR) pada 14 November yang lalu.
Konvensyen anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang dihadiri oleh lebih kurang 1,000 orang mahasiswa/i ini menjadi satu platform kepada ahli-ahli Sahabat YADIM untuk menyumbangkan pandangan dan cadangan kepada kerajaan secara realistik dan konstruktif di samping dapat melatih mereka dalam melontarkan idea dan penghujahan secara berhikmah dengan membawa fakta yang benar dan konkrit.
Konvensyen yang dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini memberi ruang kepada mereka untuk membincangkan mengenai perancangan gerak kerja dakwah Sahabat YADIM dalam tempoh setahun.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Dr Asyraf Wajdi menekankan tentang kepentingan menjadikan dunia kampus sebagai platform kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk memperteguh dan memperkasakan diri dengan pelbagai ilmu, kemahiran dan pengalaman sebelum terjun dalam dunia yang sebenar.
“Para mahasiswa dan mahasiswi ini perlu mempersiapkan diri dalam memantapkan diri dengan ilmu dan segala kekuatan kerohanian dan kefahaman Islam yang tuntas, pemikiran, jati diri dan hala tuju yang jelas untuk menyumbang kepada negara,” kata beliau.
Sementara itu, Yang Dipertua YADIM, Dr Yusri Mohamad menekankan tentang kepentingan memantapkan aktiviti usrah di kalangan ahli sahabat YADIM dengan membawa pendekatan yang berbeza iaitu dengan membentuk usrah gabungan. Pendekatan begini dilihat lebih terjamin kualiti dan praktikalnya.
Sahabat YADIM merupakan satu program yang telah ditubuhkan pada 1 November 2013 dengan memiliki keahlian di kalangan mahasiswa dan mahasiswi seramai 6,000 orang.
Ia bertujuan untuk mewujudkan satu gerakan mahasiswa dan mahasiswi yang bermatlamatkan agar mereka memiliki tasawur yang jernih dan jati diri yang kental.
Sepanjang setahun pelbagai program telah dilaksanakan oleh Sahabat YADIM termasuklah Dakwah Qiyadi, Jejak Menara, Kem Daie Muda, Training of Fasilitator, Program Outreach Sekolah dan Konvensyen Kepimpinan Muda Islam Kebangsaan.
Program-program yang dianjurkan ini meliputi semua peringkat remaja bermula daripada pelajar sekolah menengah, kolej matrikulasi sehinggalah institusi pengajian tinggi.
KOMEN