Home » Citra Yadim » YADIM cari lebih ramai rakan strategik, komited santuni asnaf

YADIM cari lebih ramai rakan strategik, komited santuni asnaf

Yang Dipertua YADIM, Yang Berbahagia Ustaz Nasrudin Hassan ketika menyampaikan sumbangan buku kepada wakil Masjid Kiayi Haji Abdullah Omar di Kapar. - Foto YADIM

KAPAR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mencari dan mengalu-alukan badan korporat atau individu untuk tampil bekerjasama dengannya bagi membolehkan badan dakwah ini menyantuni lebih ramai golongan yang memerlukan di negara ini.

Yang Dipertuanya, Yang Berbahagia Ustaz Nasrudin Hassan berkata, menerusi lebih banyak peruntukan, usaha membantu asnaf di seluruh negara akan dapat dijalankan dengan lebih baik.

“Kita sudah promosikan nombor akaun untuk yang mahu buat sumbangan di media sosial YADIM, ramai ramailah menyumbang. Kalau dana banyak, insyaAllah lebih banyak kita boleh bantu orang yang memerlukan, itu komitmen kita, ini disamping program teras YADIM iaitu berdakwah, kita tidak pegang duit, kita mahu bantu orang.

“Yadim Peduli ini ada banyak segmen, contohnya minggu lepas kami di Terengganu, juga untuk program Yadim Peduli bagi santuni mereka yang terkesan dengan Covid-19,”katanya.

Ustaz Nasrudin berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas pelancaran program Yadim Peduli: Is’ad Al Usrah di sini pada 22 Julai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Naib Presiden Pemasaran, Komunikasi & Tanggungjawab Sosial CIMB Islamic Bank Berhad, Mohd Zaid Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan M. Yusof, wakil wakil badan bukan kerajaan serta pemimpin tempatan.

Program tersebut diadakan di kediaman Rosmah Osman, seorang ibu tunggal dengan enam anak termasuk seorang Orang Kelainan Upaya penglihatan.

Rosmah tidak memiliki pendapatan tetap selain perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu. Program ini diadakan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor, CIMB Islamic, serta beberapa lagi badan bukan kerajaan.

YADIM membelanjakan RM10,000 untuk membaiki atap, pendawaian, pintu selain menyumbang perabot asas untuk Rosmah.

Sementara itu kata Ustaz Nasrudin lagi, usaha membaiki kediaman Rosmah bermula pada Isnin dan dijanka siap sepenuhnya pada (22 Julai.

Jelasnya sehingga majlis pelancaran oleh Dr Zulkifli, pembaikan sudah mencapai tahap 80 peratus dan hanya memerlukan kerja kerja pendawaian, lantai dan pemasangan pintu untuk disiapkan.

Kira kira 20 sukarelawan terlibat dalam kerja bergotong royong membaiki kediaman Rosmah.

Di program yang sama juga, YADIM menyumbang sejumah buku untuk Masjid Kiayi Haji Abdullah Omar di sini.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *