PUTRAJAYA 19 Mei – Bagi meimarahkan lagi bulan Ramadan yang bakal menjelma, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sekali lagi akan menganjurkan Program Iktikaf Ramadhan Sahabat Yadim (Irsyad 2017) di 13 lokasi berbeza di seluruh negara.
Pengurus Eksekutif Bahagian Kepimpinan Muda (Kemuda) YADIM, Zaman Karulani berkata, program berkenaan akan dilaksanakan oleh ahli-ahli Sahabat YADIM dari institusi-institusi pengajian tinggi dan ia sekaligus menjadi platform kepada mereka untuk memahirkan diri dalam melaksanakan program kemasyarakatan dan dakwah.
“Sememangnya antara tujuan penubuhan Sahabat YADIM adalah untuk melahirkan golongan muda yang mempunyai daya kepimpinan serta mampu berperanan dalam masyarakat terutama dalam melaksanakan dakwah,’’ katanya.
Menurutnya, program berkenaan yang masuk tahun ketiga penganjurannya, juga bertujuan untuk mendekatkan YADIM dengan masyarakat di peringkat akar umbi serta memberikan pendedahan kepada golongan muda berinteraksi dengan masyarakat setempat.
Beliau menjelaskan, sepanjang Irsyad diadakan pelbagai aktiviti diadakan termasuk sahur jamaie, tarawih berjemaah, qiamulail, iftar jamaie, keluarga angkat, street dakwah, dhuha perdana, ziarah asnaf, tadarus berjemaah, ikhtikaf berjemaah, usrah dan klinik tahsin ibadah.
Lokasi-lokasi untuk program Irsyad 2017 adalah Masjid Al-Bukhary Alor Setar, Kedah pada 28 hingga 30 Mei), dan dikuti oleh Masjid Ar Rahim Keningau, Sabah pada 27 hingga 29 Jun.
Irsyad 2017 seterusnya akan dilaksanakan di Masjid At-Taqwa Kampung Paroi Seremban, Negeri Sembilan (2 hingga 4 Jun), Masjid Jamek Felda Kerteh 5, Terengganu (8 hingga 10 Jun) serta Masjid Al-Husna Batu Bertangkup, Perlis dan Masjid Darul Abidin Petra Jaya, Kuching, Sarawak yang diadakan serentak pada 9 hingga 11 Jun.
Program kemudiannya akan diadakan secara serentak di tujuh lokasi pada 16 hingga 18 Jun iaitu di Masjid Seri Ampangan Nibong Tebal, Pulau Pinang, Masjid Muhammad Al-Fateh, Ipoh, Perak, Masjid Saidina Ali Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, Masjid Al-Azim, Melaka, Masjid Jamek Tan Sri Ainuddin Wahid, Johor, Masjid Saidina Ali Bukit Sekilau, Kuantan dan Masjid Ayesha, Kok Lanas, Kelantan.
KOMEN