PUTRAJAYA 10 Ok. – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengalu-alukan usaha kerajaan memperuntukkan RM30 juta kepada pusat-pusat tahfiz seluruh negara.
Yang Dipertua YADIM, Dr. Yusri Mohamad berkata, inisiatif berkenaan dilihat mampu meningkatkan taraf infrastruktur pusat-pusat tahfiz setanding institusi pendidikan lain.
“Peruntukan yang disediakan ini juga sekaligus menafikan tohmahan sesetengah pihak yang menyatakan kerajaan mengabaikan institusi tahfiz,” katanya.
Dr Yusri berkata, YADIM melihat usaha kerajaan itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengangkat martabat pendidikan Islam khususnya institusi tahfiz.
Katanya, langkah berkenaan juga bertepatan dengan Dasar Tahfiz Negara yang berhasrat untuk melahirkan 125,000 huffaz dalam pelbagai bidang profesional menjelang 2050.
“YADIM berharap inisiatif ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh institusi tahfiz bagi meningkatkan infrastruktur institusi masing-masing selain mengambil kira nasihat daripada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar peruntukan yang disalurkan itu digunakan untuk tujuan menaiktaraf kemudahan infrastruktur sepenuhnya dengan baik.
“Semoga usaha ini dapat melahirkan sebuah masyarakat yang seimbang dari segi rohani dan jasmaninya.”
KOMEN