IMPIAN komuniti Islam di Barangay Graceville, Bulacan, utara Manila, Filipina menyediakan akses pendidikan Islam kepada 1,000 kanak-kanak dan remaja mungkin tidak terlaksana jika mereka gagal melunaskan tunggakan tanah berjumlah 1.6 juta peso (RM120,000) untuk membangunkan madrasah.
Pada 2016, komuniti berkenaan membeli 12 lot tanah berkeluasan 360 meter persegi di kawasan penempatan baru untuk penduduk Islam, Darul Ihsan bertujuan menambah bangunan madrasah asal sedia ada, Bulacan Integrated Learning Centre (BILC) yang hanya mampu memuatkan kira-kira 120 pelajar.
Penduduk membeli tanah terbabit melalui Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang membayarkan wang pendahuluan dan bakinya 1.6 juta peso perlu dijelaskan penduduk secara ansuran.
Sebahagian 120 anak-anak yang mendapatkan pendidikan Islam di madrasah berkenaan.
Bagaimanapun, kesempitan hidup menyebabkan penduduk tidak mampu melunaskan baki berkenaan sebelum tarikh akhir hingga mengakibatkan tanah itu bakal diambil dan dijual mulai bulan depan.
Pengurus Kanan Projek MyCARE Abdul Hafidz Hashim berkata, ketiadaan akses pendidikan Islam formal di negara berkenaan menyebabkan penduduk mengambil inisiatif itu bagi mengelak anak muda mereka terdedah kepada pengaruh budaya barat dan gejala tidak sihat.
“Pada peringkat awal, penduduk membeli tanah lima lot berkeluasan 150 meter persegi di penempatan itu. Kami membantu mereka sejak 2015 dengan menyalurkan dana untuk mereka menyiapkan bangunan BILC.
“Walaupun BILC belum siap sepenuhnya, madrasah berkenaan tetap meneruskan sesi pembelajaran dalam keadaan serba daif dan ruangan sempit.
“Sedihnya mereka menggunakan papan hitam, kerusi dan meja buatan penduduk untuk kemudahan kepada 120 pelajar berusia bawah 13 tahun,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, BILC bukan saja menjadi tumpuan penduduk setempat, tetapi turut mendapat sambutan penduduk kawasan lain kerana ketiadaan madrasah di tempat mereka.
“Menyedari kesulitan dialami mereka, MyCARE sekali lagi membantu dengan membeli 12 lot tanah tambahan untuk pembinaan madrasah yang lebih besar yang boleh menampung hampir 1,000 pelajar.
“MyCARE membuat bayaran pendahuluan melalui sumbangan diperoleh daripada penyumbang budiman di Malaysia manakala baki selebihnya diselesaikan komuniti berkenaan.
Kerusi dan meja dibuat sendiri oleh komuniti Islam di sana utk kegunaan pelajar di madrasah. FOTO Ihsan MyCARE
“Malangnya kerana kekangan kewangan, pihak yang menguruskan madrasah gagal membuat bayaran seterusnya dan kini mereka diberikan masa hingga akhir bulan ini untuk menyelesaikan baki tunggakan,” katanya.
Berikutan itu, katanya, MyCARE sedang berusaha melancarkan kempen mengumpul dana yang boleh disalurkan atas nama Humanitarian Care Malaysia Berhad di akaun Maybank 564258560698 dan CIMB Islamic 8602135592 dengan meletakkan rujukan ‘savemadrasah’.
“Jika kita tidak membantu mereka, tanah itu akan diambil dan dijual. Jika ini berlaku, peluang mendapatkan tanah lain seluas itu dan di kawasan strategik untuk orang Islam adalah sangat susah dan harganya lebih mahal.
“Kami merayu kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang setakat termampu bagi menyelamatkan tanah itu demi akidah ribuan anak-anak Islam di Bulacan,” katanya. – HARIAN METRO
KOMEN