KUALA LUMPUR – Pemimpin utama negara Islam sependapat supaya satu sistem kewangan Islam diwujudkan bagi mengukuhkan perdagangan dalam kalangan negara anggota selain mengelak kebergantungan kepada mata wang asing.
Pendirian itu dipersetujui pada sesi meja bulat sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 bertajuk ‘Keutamaan Pembangunan dan Cabaran’ yang disertai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Iran, Dr Hassan Rouhani dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Rouhani berkata, bagi mencapai matlamat supaya negara-negara Islam mempunyai sistem kewangan sendiri dan tidak lagi bergantung kepada dolar Amerika Syarikat (AS), mereka perlu membina kerjasama dan berkongsi peluang serta kepakaran yang ada.
“Dalam sektor perbankan ini, negara Islam perlu melakukan transaksi menggunakan mata wang mereka sendiri,” katanya.
Terdahulu ketika berucap pada majlis perasmian sidang kemuncak berkenaan, Presiden Iran menggesa dunia Islam merancang langkah menyelamatkan negara masing-masing daripada penguasaan berterusan dolar dan rejim kewangan AS.
“Fakta menunjukkan negara-negara Islam saling melengkapi dari segi ekonomi, bermakna penciptaan mekanisme khas untuk kerjasama perbankan dan kewangan dalam kalangan negara Islam selain penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan secara bersama, mesti diselidik secara menyeluruh,” katanya.
Beliau juga mencadangkan penubuhan mekanisme insurans pengangkutan khusus untuk negara Islam kerana banyak urus niaga dan kegiatan ekonomi masa kini negara Islam bergantung kepada insurans asing yang datang dari negara kuasa besar.
Selain sistem kewangan dan insurans, Rouhani menegaskan, negara Islam boleh memperkukuhkan industri halal mereka yang memiliki potensi ekonomi cukup besar selain bidang pelancongan.
Sementara itu, Erdogan turut berpendirian adalah lebih baik bagi negara Islam membebaskan perdagangan dua hala mereka daripada tekanan tukaran asing.
“Daripada melakukan perdagangan dengan mata wang asing, kami mahu melakukan perdagangan asing dengan mata wang negara kami. Kami sedang mencari kaedah baharu untuk berdagang dengan negara-negara seperti China dan Russia yang menggunakan mata wang tempatan,” kata Presiden Turki itu.
Dr Mahathir yang ditemui media selepas sesi dipengerusikan Timbalan Pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid itu, menegaskan kebergantungan kepada dolar AS hanya menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara Islam terjejas.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, berkata perkara itu sudah banyak kali beliau bangkitkan, tetapi masih belum mencapai sebarang kemajuan dan kali ini gembira kerana mendengar sendiri ia dibangkitkan oleh Iran dan Turki.
“Idea ini sudah saya bangkitkan lama dulu dan apabila kita tidak guna dolar AS, ada tindakan daripada kuasa besar, mereka sekat kita dengan menggunakan kekuatan mereka. Sebenarnya, apabila kita guna mata wang kita sendiri, ia akan memberi kekuatan kepada negara terbabit,” katanya. – Berita Harian
KOMEN