BERTUJUAN Memperkasa dan menyelaras gerakan dakwah negara, seramai 60 anggota jawatankuasa badan Islam bersama YADIM menerima watikah lantikan masing-masing di ibu pejabat badan dakwah ini di Putrajaya pada 24 Januari.
Watikah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Enam puluh anggota jawatankuasa berkenaan masing-masing mewakili Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Nadwah Ulama dan Ilmuan YADIM (NUIM) dan Majlis Wanita Islam YADIM (MAWIM).
Dr Zulkifli dalam ucapannya berkata, dalam keadaan dunia pasca normal dan pasca kebenaran ketika ini, autoriti pendakwah semakin pudar, justeru adalah menjadi tugas para pendakwah untuk berusaha mendapatkannya semula bagi menghidupkan keberkesanan dakwah itu sendiri.
”Hari ini, mufti (pendapat) pun mereka sanggah, jadi ini yang kita perlu fikir bersama, dan badan dakwah seperti YADIM yang perlu ketuai,” ujarnya.
Terdahulu Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, anggota dan jawatankuasa badan bukan kerajaan (NGO) yang dikumpulkan ini antaranya akan menyelaras kerja-kerja dakwah yang sangat banyak ketika ini.
Tambahnya, dasar negara seperti Malaysia Madani, Rahmatan Lil Alamin dan Islam Hadhari akan menjadi keutamaan supaya dapat diselaraskan kerja dakwah yang tersusun.
Beliau turut menyeru anggota jawatankuasa yang dilantik supaya terus aktif memberi pandangan dalam berdakwah walaupun berbeza pendapat.
Dengan lantikan hari ini, MAIM akan diketuai oleh Datuk Hassanudin sebagai pengerusinya, NUIM pula oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Dr Haji Bashir Mohamed manakala MAWIM pula oleh seorang lagi ALPA YADIM, Prof. Ts. Dr Zuriati Zukarnain.
Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin pula akan bertindak selaku setiausaha bagi ketiga-tiga badan ini.
Sementara itu, turut hadir sama ke majlis ini ialah Timbalan Yang Dipertua YADIM, Prof Madya Dr. Adi Anuar Azmin, pengurusan kanan, pengarah-pengarah negeri YADIM dan kepimpinan NGO-NGO Islam.
MAIM merupakan sebuah platform gabungan, permuafakatan dan kerjasama antara YADIM bersama NGO Islam. Objektif penubuhannya adalah untuk menyebarkan ajaran Islam yang selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta memupuk kerjasama pintar dan jaringan dakwah dalam kalangan NGO Islam.
NUIM ditubuhkan pada tahun 2001 hasil daripada pembentangan Kertas Dasar Dakwah Baru YADIM di Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang ke – 65 yang dipengerusikan oleh Allahyarham Dr. Uthman El- Muhammady.
Pertubuhan ini adalah sebagai satu landasan para ulama dan ilmuan untuk mengadakan sesi perbincangan bagi menghasilkan pelbagai resolusi yang menumpukan dalam bidang agama untuk dikemukakan kepada pihak yang berkaitan.
MAWIM pula merupakan sebuah badan gabungan daripada penggerak masyarakat di kalangan wanita, antara lain, termasuklah barisan pemimpin NGO Islam, ahli profesional, aktivis dan ilmuwan.
Tujuan utama MAWIM ini ditubuhkan adalah sebagai penggerak wanita dalam satu kesatuan pemikiran berasaskan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah serta menjadi jurubicara wanita Islam dalam menyuarakan pandangan mengenai dasar dan kedudukan wanita dalam masyarakat.
KOMEN