JAKARTA – INDONESIA. Seorang tenaga kerja Indonesia (TKI) dihukum pancung di Arab Saudi pada Ahad selepas disabit bersalah membunuh majikannya.
Hukuman ke atas pemuda berasal dari Madura itu disampaikan badan bukan kerajaan (NGO), Migrant Care yang bekerjasama dengan Kementerian Luar Indonesia.
Malangnya, pihak kementerian tidak dimaklumkan oleh kerajaan Arab Saudi sebelum hukuman berkenaan dijalankan.
Tertuduh dikenali sebagai Muhammad Zaini Misrin Arsyad didakwa membunuh majikannya di kota Mekah pada 2004.
Namun menurut Migrant Care, Zaini pernah memberitahu bahawa dia dipaksa mengaku melakukan jenayah terbabit selepas digertak pihak berkuasa negara berkenaan.
Lebih malang, pihak mahkamah juga didakwa gagal menyediakan jurubahasa yang mahir dan neutral.
Tambah NGO itu, Zaini dihukum pancung tepat pukul 11.30 pagi (waktu tempatan).
“Menurut keterangan dari pihak kementerian, pihak berkuasa Arab Saudi sama sekali tidak memaklumkan mengenai hukuman ini,” menurut kenyataan Migrant Care, semalam.
Sementara itu, Pengarah Perlindungan Warga Negara Indonesia (WNI), Lalu Muhammad Iqbal memberitahu pihaknya hanya mengetahui hukuman tersebut menerusi sumber tidak rasmi.
“Kami hanya mengetahuinya (hukuman) beberapa saat sebelum hukuman dijalankan dan serentak itu semua akses telah ditutup,” katanya.
Difahamkan, Presiden Indonesia Joko Widodo telah menulis surat sebanyak dua kali kepada Raja Salman agar kes berkenaan dibicarakan semula.
Malah, pihak kementerian turut mengirim bukti baharu kepada Mahkamah Tinggi Riyadh pada 6 Mac lalu.
Ketika ini, dua lagi warga Indonesia iaitu Tuty Tursilawati dan Eti Toyib yang kedua-duanya berasal dari Jawa Barat turut menunggu hukuman mati di negara berkenaan.
Keduanya disabit bersalah membunuh majikan masing-masing pada 2010. – iNews/Bisnis.com
KOMEN