Home » Aspirasi » Wanita pertama urus kilang minyak sawit di dunia

Wanita pertama urus kilang minyak sawit di dunia

Foto NSTP

PORT DICKSON – Jurutera Kimia, Nor Azian Anuar mencatat sejarah sebagai wanita pertama di dunia dilantik sebagai pengurus kilang memproses minyak sawit sekali gus memecahkan rekod kerjaya yang didominasi golongan lelaki sejak 100 tahun.

Graduan Kejuruteraan Kimia dari Universiti Sains Malaysia ini diberi kepercayaan oleh Sime Darby Plantations untuk menerajui Kilang Kelapa Sawit Tanah Merah, di sini sejak Jun 2016 selepas 12 tahun berkhidmat dalam industri berkenaan.

Anak kelahiran Selangor itu menyertai Kumpulan Guthrie Berhad sebagai Penolong Pengurus, sebelum bergabung dengan Sime Darby Berhad dan Golden Hope Plantations Berhad pada 2007.

Nor Azian, 36, pernah bertugas di beberapa kilang sekitar Negeri Sembilan seperti di Rantau dan Ulu Remis, Johor.

“Saya bersyukur kerana sentiasa positif dan bersedia dengan apa juga cabaran yang mendatang kerana ketika ditugaskan ke kilang ini selama beberapa hari, saya tidak tahu pun akan ditempatkan terus sebagai pengurus.

“Kepercayaan pihak syarikat meletakkan wanita menerajui sebuah kilang, satu keputusan besar yang luar biasa dalam industri peladangan dan saya mengucapkan terima kasih kepada pihak atasan,” katanya.

Nor Azian ditemui di Kilang Kelapa Sawit Tanah Merah, berkata sebagai wanita beliau mengakui agak mencabar berdepan dengan 112 kakitangan yang mana lebih 90 peratus daripadanya adalah lelaki.

Foto NSTP

Usia muda bukan penghalang

Beliau berkata, kira-kira 60 peratus pekerja di situ adalah orang tempatan dan selebihnya pekerja asing dari Indonesia.

Gender dan usia muda secara tidak langsung menimbulkan persepsi dalam kalangan pekerja khususnya yang bekerja lebih lama di kilang berusia 41 tahun itu, selain masyarakat sekeliling dan luar.

Berbekalkan pengalaman lebih sedekad dalam operasi pengilangan kelapa sawit, Nor Azian menggunakan pendekatan membina kepercayaan kakitangan ke atasnya.

“Biasanya saya akan dengar dulu pendapat kakitangan kerana kebanyakan mereka sudah bekerja lama di situ sebelum memberikan idea saya dalam sesuatu isu.

“Memang pada mulanya mereka sukar menerima pembaharuan kerana sudah biasa dengan apa yang dilakukan selama ini tetapi bagi saya apa yang penting perlu mencuba dulu dan sekiranya gagal, saya akan bertanggung jawab ke atasnya,” katanya.

Foto NSTP

Lahirkan idea kreatif

Sepanjang tahun lalu, Nor Azian berjaya meningkatkan fungsi pendandang menggunakan bahan terbuang kelapa sawit sebagai bahan bakar berbanding gas, sekali gus mengurangkan kos operasi.

Idea kreatifnya turut membuahkan hasil apabila berjaya meraih pendapatan sampingan mencecah RM300,000 hasil jualan tempurung dan sisa kelapa sawit.

Kilang yang beroperasi antara 16 sehingga 24 jam (bergantung kepada kuantiti buah) itu mementingkan kualiti minyak dihasilkan dengan standard kandungan Asid Lemak Bebas (FFA) di bawah 3.5 peratus.

Malah, kilang berkenaan turut menghasilkan minyak berkualiti premium dengan FFA di bawah 1.2 peratus.

Bagi mencapai keperluan standard berkenaan, buah perlu diproses secepat mungkin tidak melebihi 48 jam.

Foto NSTP

Bukan kerja glamor

Sebagai pengurus dan pada masa sama jurutera, beliau bukan sahaja perlu mahir dengan operasi kilang tetapi juga menguruskan dan merancang kewangan syarikat dan bekerjasama dengan masyarakat terutama pemimpin di kawasan ini.

Malah anak sulung daripada tiga adik beradik ini juga mengambil berat masalah kakitangan dan keluarga mereka bagi mengelakkan kesan negatif ke atas kualiti kerja.

Setiap Sabtu, Nor Azian bersama kakitangan wanita di bawah program ‘Gender Community’, berkebun dengan menanam bunga di sekitar kawasan kilang dan pada hari lain, turut menyokong pekerja lelaki yang lebih gemar bermain bola sepak.

Katanya, bergelar pengurus kilang kelapa sawit, memang tidak glamor berbanding kerjaya lain yang lazimnya digemari wanita.

“Saya masih ingat lagi pengalaman ketika pergi temuduga kerja. Kekosongan hanya untuk enam orang saja tetapi calon yang datang 40 orang, iaitu 10 wanita, selebihnya lelaki. Sesi temuramah juga dipecahkan kepada sesi lelaki dan wanita.

“Sesi berlangsung di kilang Tanah Merah ini, calon wanita semuanya pakai kasut tumit tinggi, hanya saya sahaja yang pakai kasut sukan kerana lebih sesuai kerana akan dibawa keliling kilang,” katanya.

Sokongan keluarga terutama bapa, arwah ibu dan dua adiknya yang sentiasa menyokong kerjaya itu menjadikan Nor Azian wanita tabah dan sentiasa bersemangat meningkatkan pengetahuan khususnya dalam teknologi terkini supaya setara dengan jurutera lain di negara ini. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *