SUNGAI PETANI: Seorang wanita Malaysia berusia 30-an yang dipercayai berjuang bersama militan IS dan Daesh di Syria meminta bantuan polis dan kerajaan bagi menyelamatkan dia dan empat anaknya yang ditahan di sebuat pusat tahanan di sana.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ayah kepada wanita itu menghubungi Bukit Aman dan memaklum dia menerima panggilan telefon dari anaknya merayu bantuan untuk pulang ke Malaysia.
Katanya, wanita itu yang menghubungi ayahnya lebih seminggu lalu memberitahu dia dan empat anaknya kini berada di sebuah kem tahanan, manakala suaminya yang ditawan oleh pasukan militan Kurdishtan berada dipenjara.
“Ini pertama kali kita mendapat maklumant mengenai rakyat yang berjuang bersama militan di luar negara dan hanya wanita itu sahaja yang menghubungi keluarganya bagi memohon bantuan.
“Wanita terbabit dan suaminya dikesan pergi ke Syria pada 2015 lalu dan pasangan ini antara 53 rakyat Malaysia yang masih berada di negara bergolak itu.
Dari jumlah itu 24 adalah lelaki, 12 wanita, sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan perempuan,” katanya kepada media selepas menghadiri Hari Integriti Institut Perguruan Sultan Abdul Halim (IPSAH) di sini, hari ini.
Katanya, susulan itu, Bukit Aman sedang mengumpulkan maklumat lanjut mengenai wanita terbabit dan akan melihat jika boleh diusahakan untuk membawanya pulang.
Bagaimanapun, Ayob tidak mendedahkan dari mana asal wanita terbabit dan keluarganya.
Katanya lagi, sebelum ini polis juga ada menerima maklumat daripada badan pemantau antarabangsa, Human Right, yang membuat pemantauan ke atas kem tahanan di Iraq dan Syria memaklumkan mereka menemui seorang wanita dipercayai dari Malaysia bersama anaknya ditahan disebuah kem tahanan Al-Qul dekat Syria.
“Ekoran itu, pihak polis berusaha mengumpul pelbagai maklumat bagi mengesahkan samada wanita yang ditemui itu rakyat Malaysia atau Indonesia kerana adakalanya berlaku kekeliruan status warganegara.
“Berdasarkan jumlah rakyat Malaysia yang berada di Syria iaitu seramai 53 orang, kita yakin maklumat yang diberi oleh Human Right itu ada betulnya dan tindakan lanjut sedang dilakukan,” katanya.
Ayob berkata agak sukar untuk mengeluarkan wanita terbabit dan anaknya dari kawasan bergolak di Syria berbanding di Iraq kerana negara terbabit dikuasai pelbagai militan seperti Al Qeda, Daesh dan banyak lagi.
Menurutnya, polis juga menerima maklumat lebih ramai rakyat Malaysia yang terbabit dengan militan akan pulang ke negara ini.
“Pihak polis telah mengambil langkah bersiap sedia bagi menghalang kemasukan militan luar ke negara ini kerana dari 106 militan yang ditahan tahun lalu 53 ada warga asing,” katanya. – BERITA HARIAN
KOMEN