KEMAMAN 7 Feb. – Kemerduan suara yang dimiliki memberi tuah kepada seorang wanita cacat penglihatan apabila muncul johan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kemaman.
Dengan markah 84.5 peratus yang diperolehi, Afzam Mustafa, 38, dari Taman Wan Adnan Kerteh, di sini, membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan sijil penghargaan.
Afzam yang juga penyanyi tidak menolak bahawa anugerah bakat dalam nyanyian yang dimilikinya banyak membantunya mengawal pernafasan ketika mengalunkan ayat suci Al-Quran mengikut kehendak pertandingan.
Lebih manis, menurutnya, kejuaraan itu merupakan kemenangan pertamanya dalam tilawah al-Quran yang bukan dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bertanding dengan orang-orang celik (normal) beri cabaran besar kepada saya sebab sebelum ini pesaing saya juga tidak dapat melihat sama seperti saya.
“Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan saya berazam untuk pertingkatkan lagi mutu bacaan taranum dan tajwid lepas ini agar saya dapat lakukan yang terbaik jika terpilih ke tilawah al-Quran peringkat negeri nanti,” katanya.
Difahamkan qariah dan qari yang mara ke peringkat negeri dipilih berdasarkan markah.
Anak keempat daripada lapan beradik itu sebelum ini hanya sempat melakukan persiapan menyertai tilawah peringkat daerah itu tidak sampai seminggu.
“Kejayaan ini saya kongsi dengan ibu saya, Fatimah Abdullah, 61, yang setia menemani saya sepanjang tilawah al-Quran ini bermula hingga tamat,” katanya yang khatam al-Quran selepas memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dalam majlis tilawah itu yang dirasmikan Exco Kerajaan Negeri merangkap Adun Kemasik, Ir Rosli Othman, peserta dari Taman Kerteh Indah 3, Kerteh, Mohd Zaky Ismail, 34, pula dinobatkan sebagai johan qari dengan markah 92 peratus.
Majlis yang berlangsung di pekarangan Masjid Kampung Bukit Kukuran, Kemasik itu menyaksikan 10 peserta dari seluruh Kemaman terdiri daripada lima peserta lelaki dan lima peserta perempuan mengambil bahagian.
Turut hadir, isteri Rosli, Fadzliaton Ruhaizan Ramli; Pegawai Daerah Kemaman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah, Mohd Zahari Md Azahar dan Pegawai Agama Daerah, Ahmad Azhar Harun@Musa.- SINAR HARIAN
KOMEN