KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan bahawa penggunaan wang sumbangan orang ramai kepada anak-anak yatim haruslah diuruskan dengan penuh kejujuran dan rasa tanggungjawab.
Menurutnya, saudara-mara hanya sebagai pemegang amanah dan hak pengurusan wang tersebut tertakluk pada keperluan kepada anak yatim itu.
“Kami dengan tegas menyatakan bahawa bapa saudara atau ibu saudara hanya sebagai pemegang amanah.
“Hak pengurusan (tasarruf) wang berkenaan adalah tertakluk kepada keperluan (maslahah) dan sumbangan atau sedekah kepada kedua-dua anak yatim berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Semalam, media melaporkan kekecewaan Yusnida Husain iaitu kakak kepada almarhum Fairuz Nizam (mangsa kemalangan Duke) yang mendakwa wang sumbangan orang ramai tidak sampai ke tangan anak saudaranya itu untuk digunakan bagi perbelanjaan sekolah dan harian.
Hanya setelah Yusnida membuat laporan polis, barulah dia memperoleh sedikit wang sumbangan tersebut tetapi tidak kesemuanya.
Wang sumbangan tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun adik-adik Yusnidah. Antara alasan yang diberikan oleh adiknya (menggunakan kenyataan merujuk kepada Mufti Wilayah Persekutuan), duit yang diberi orang ramai adalah harta mereka kerana ia dimasukkan ke dalam akaun peribadi dan bukan akaun anak-anak yatim ini.
Tambah Zulkifli lagi, itulah yang beliau maksudkan ketika ada pihak bertanya kepada mereka mengenai keharusan penggunaan wang sumbangan orang ramai tersebut.
“Wang tersebut bukan sepenuhnya menjadi hak milik pemegang amanah yang boleh digunakan untuk manfaat peribadi dengan sewenang-wenangnya,” katanya.
Pada Mei 2015, negara dikejutkan dengan kematian sepasang suami isteri, dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan yang maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Km6.2 Lebuhraya Duke.
Mangsa, Fairuz Nizam Husain dan pasangan Nova Safitri Azhari meninggalkan dua orang anak perempuan Nur Firuza Amira,8 tahun dan Nur Firuza Aqila dalam kemalangan tersebut.- https://www.sinarharian.com.my/
KOMEN