KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim yang meninggal dunia ketika sedang menyampaikan khutbah Solat Jumaat di Masjid Al-Bukhary di Alor Setar, semalam.
“Kematian yang cukup menginsafkan. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim.
“Semoga dikurniakan syurga bersama para solehin,” kata Timbalan Perdana Menteri dalam laman Twitter miliknya.
Allahyarham, 68, yang menyampaikan khutbah kira-kira 1.30 tengah hari tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah itu rebah selepas menyebut ayat ‘Bertakwalah pada Allah’ dan beberapa baris ayat dalam bacaan khutbahnya. – Bernama
KOMEN